
Pemuda DAP menggesa kepimpinan Pakatan Harapan menilai semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional susulan tindakan BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Menurut kenyataan Pemuda DAP, mandat yang diberikan rakyat sebelum ini adalah berasaskan kerangka kerajaan perpaduan yang dibentuk demi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negeri.
Katanya, sebarang usaha membentuk kerajaan melalui kaedah “tebuk atap” atau “pintu belakang” tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan semangat kerajaan perpaduan.
Dakwa tindakan tanpa pilihan raya khianati pengundi
Pemuda DAP menyifatkan cubaan menukar kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya sebagai penghinaan terhadap demokrasi dan pengkhianatan kepada kepercayaan pengundi.
“Mengubah kerajaan melalui pintu belakang tanpa kembali kepada rakyat adalah satu pengkhianatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, sekiranya parti-parti terlibat terus mahu menggugat kestabilan politik negeri, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan wajar mempertimbangkan tindakan tegas.
Antara tindakan yang dicadangkan termasuk menamatkan kerjasama di semua peringkat pentadbiran.
Gesa Zahid campur tangan
Dalam kenyataan sama, Pemuda DAP turut menggesa Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi supaya campur tangan secara bertanggungjawab bagi meredakan polemik yang sedang berlaku.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata keputusan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri BN di Negeri Sembilan untuk menarik sokongan terhadap Aminuddin dibuat oleh wakil rakyat berkenaan sendiri.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu mengakui beliau telah dimaklumkan mengenai tindakan tersebut.
PH dan BN bentuk kerajaan selepas PRN
Pada Pilihan Raya Negeri lalu, Pakatan Harapan memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala Barisan Nasional memperoleh 14 kerusi dan Perikatan Nasional lima kerusi.
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kemudian membentuk kerajaan negeri bersama dengan Aminuddin dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.