
Anwar Ibrahim berkata keputusan terbaru kerajaan berkait lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dapat dicapai hasil perubahan besar yang ditunjukkan sekolah aliran itu dari segi sikap dan penerimaan sepanjang empat dekad lalu.
Perdana Menteri berkata perbincangan mengenai pengiktirafan graduan UEC sebenarnya sudah mula dibangkitkan ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan kira-kira 40 tahun lalu, ketika sekolah persendirian Cina sebahagian besarnya masih terpisah daripada sistem pendidikan kebangsaan.
Anwar imbau suasana tegang perbincangan pendidikan
Mengimbau kembali situasi ketika itu, beliau berkata mesyuarat antara pihak berkuasa pendidikan dan pertubuhan pendidikan Cina sering berlangsung dalam suasana tegang, malah terdapat wakil yang enggan bertutur dalam bahasa Melayu.
Menurutnya, dalam beberapa mesyuarat yang dihadiri, pemimpin persatuan guru terbabit enggan bercakap walau sepatah perkataan dalam bahasa Melayu.
Anwar berkata beliau kekal bersabar dan mendengar pandangan semua pihak, namun Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Rahman Arshad, memaklumkan tidak dapat menerima sikap sedemikian dan memilih meninggalkan mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sebuah hotel di Ipoh hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan isteri Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail.
Sekolah persendirian Cina kini lebih selari
Mengulas lanjut, Anwar berkata keadaan kini sudah berubah dengan ketara apabila sekolah persendirian Cina menunjukkan keselarasan yang lebih baik dengan kerangka pendidikan kebangsaan.
Katanya, semua wakil persatuan kini bertutur dalam bahasa Melayu, selain lebih 80 peratus pelajar di sekolah Cina menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
KPT buka laluan tertentu ke IPTA
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
KPT turut memaklumkan calon daripada aliran terbabit yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan menerusi sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.