
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Rashid Hasnon, menepis tanggapan bahawa ketiadaan bantuan rasmi jentera Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menjejaskan gerak kerja kempen gabungan itu di kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Bersatu Johor itu berkata, kekuatan jentera PN tidak hanya bergantung kepada satu parti kerana gabungan tersebut masih mempunyai sokongan daripada komponen lain, termasuk Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) serta jentera dari luar Johor.
“Jentera bukan hanya datang dari kawasan itu sahaja. Kita boleh kumpulkan dari luar negeri juga,” katanya dalam satu temu bual bersama FMT di Bilik Gerakan Bersatu DUN Senggarang.
Yakin bekas penyokong Bersatu kembali membantu
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu turut percaya masih terdapat bekas penyokong Bersatu yang akan kembali membantu PN sepanjang tempoh dua minggu berkempen.
Beliau berkata, ketika menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat sebelum ini, dirinya mempunyai hubungan rapat dengan ahli akar umbi dan pengundi di kawasan berkenaan.
Mengulas kehadiran dua wakil PAS pada pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) di Rengit sehari sebelumnya, Rashid berkata perkara itu berlaku di luar kawasan Senggarang dan tidak semestinya menggambarkan pendirian keseluruhan ahli PAS.
Kehadiran wakil PAS di majlis BN
Dua pemimpin PAS Batu Pahat hadir dalam majlis BN itu, sedangkan dua daripada tiga kerusi DUN yang ditandingi gabungan tersebut turut menyaksikan pertembungan dengan Bersatu, rakan PAS dalam PN.
Kehadiran Ahli Jawatankuasa PAS Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid, dalam majlis di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, disambut Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata parti itu mengarahkan ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon Umno-BN di kerusi yang tidak dipertandingkan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini.
Sementara itu, Rashid menolak label “giant killer” sekiranya menang di Senggarang, sebaliknya menyifatkan dirinya sebagai “underdog” yang mahu memberikan persaingan sengit dalam PRN kali ini.
DUN Senggarang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan Rashid berdepan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, daripada Pakatan Harapan (PH), serta penyandang yang juga calon BN, Yusla Ismail.
Pada PRN Johor 2022, kerusi itu dimenangi Yusla dengan majoriti 3,912 undi dalam pertandingan lima penjuru.
“Kamu sebut giant killer. Tak, saya bukan giant killer. Saya kata underdog. Dua perkara yang berbeza. Tapi mungkin kalau menang, orang nampak saya giant killer,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.