
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah mentadbir bersama hampir satu penggal penuh, membawa kestabilan politik dan dasar kepada negara. Namun begitu, penganalisis memberi amaran, kestabilan itu bukan jaminan untuk reformasi institusi yang bermakna.
Profesor Madya di University of Nottingham Malaysia, Tricia Yeoh, berkata tekanan politik dan ketaktentuan kadangkala mendesak sesebuah kerajaan untuk melaksanakan reformasi yang biasanya cenderung dielakkan.
Beliau memetik pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai contoh. Ketika itu, kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti Parlimen dan terpaksa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 2021 bersama PH, yang ketika itu menjadi pembangkang.
Bila kerajaan rasa selesa, reformasi terabai
“Apabila kerajaan merasakan terlalu selesa dan stabil, ia cenderung percaya tidak perlu melakukan reformasi ini untuk memujuk atau memenuhi mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya akan melakukan apa yang mereka anggap sebagai keutamaan sendiri,” katanya kepada FMT.
Di bawah MoU tersebut, kerajaan ketika itu bersetuju tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022. Sebaliknya, PH pula bersetuju menyokong atau berkecuali dalam isu belanjawan dan rang undang-undang perbekalan, serta tidak menyokong sebarang usul yang boleh membawa kepada undi tidak percaya.
MoU itu turut membuka laluan kepada pindaan Perlembagaan yang melarang ahli Parlimen melompat parti. Ia juga membawa kepada pindaan berasingan yang mentakrifkan semula Sabah dan Sarawak sebagai “negeri Borneo”.
Dalam pada kerajaan perpaduan pimpinan BN-PH giat mengusahakan reformasi ekonomi dan subsidi, beberapa reformasi institusi utama masih belum selesai. Ini termasuklah had dua penggal untuk jawatan perdana menteri, pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, serta Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat.
Agenda reformasi yang tertangguh ini turut menjadi isu politik dalaman DAP, yang pernah mempertimbangkan untuk keluar daripada kerajaan perpaduan. Namun, perwakilan parti itu akhirnya mengundi untuk kekal.
Kestabilan bawa keyakinan pelabur
Penganalisis politik Asrul Hadi pula berkata, kestabilan yang dibawa oleh BN-PH jelas memberi manfaat, khususnya selepas negara melalui bertahun-tahun ketaktentuan politik dan pertukaran kerajaan.
“Kekuatan model itu bukan hanya mengekalkan keutuhan kerajaan, malah kestabilan politik dapat memastikan kebolehramalan dasar dan keyakinan pelabur yang diperlukan untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, pengaturan BN-PH turut memastikan semak dan imbangan yang lebih baik kerana tiada mana-mana satu komponen mampu mendominasi kerajaan, berbeza dengan era pemerintahan BN sebelum ini.
“PH, BN dan parti di Malaysia Timur masing-masing mempunyai kekuatan politik, kawasan pilihan raya dan kepentingan mereka. Ini mungkin menyukarkan proses membuat keputusan, tetapi turut memaksa lebih banyak rundingan dan persefahaman,” jelasnya.
BN mula renggang, intai kerjasama dengan PN
BN dan PH sebenarnya seteru politik selama berdekad, sebelum menjadi rakan sepersekutuan selepas PRU 2022 apabila kedua-dua gabungan gagal meraih kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Walaupun mempunyai perbezaan sejarah dan ideologi yang ketara, kedua-dua blok ini berjaya mentadbir bersama sepanjang satu penggal penuh.
Namun begitu, BN kini dilihat semakin menjauhkan diri daripada PH sambil mengintai kerjasama lebih mendalam dengan Perikatan Nasional (PN) pimpinan PAS. Ini berikutan kedua-dua parti pernah bergabung secara tidak rasmi dalam PRN Negeri Sembilan, yang menyaksikan blok tersebut berjaya meraih majoriti dua pertiga daripada 36 kerusi DUN, dengan BN memenangi 18 kerusi dan PN pula memenangi tujuh kerusi.
Bagi Yeoh, kelebihan gabungan BN-PH bukan terletak pada persamaan, sebaliknya perbezaan ideologi itu sendiri yang mampu memaksa gabungan berkenaan membina agenda nasional yang lebih inklusif.
Katanya, mana-mana gabungan dalam kerajaan tetap perlu menegakkan semangat Perlembagaan Persekutuan dan mewakili kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.