
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mula mempamerkan notis cadangan bagi menambah kawasan pilihan raya baharu, selain turut mencadangkan pertukaran nama beberapa kawasan pilihan raya sedia ada di Sarawak.
Notis berkenaan akan dipamerkan sehingga 30 September ini di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak, bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan bantahan sekiranya ada terhadap cadangan tersebut.
Selain itu, notis itu turut disiarkan dalam akhbar tempatan, iaitu Utusan Borneo dan Borneo Post pada hari yang sama.
Menurut notis tersebut, SPR menjalankan kajian semula ini bersandarkan kehendak Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, yang melibatkan pembahagian negeri Sarawak kepada bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan bahagian-bahagian pilihan raya negeri.
17 kawasan DUN baharu, 10 lagi bertukar nama
Hasil daripada kajian itu, sebanyak 17 kawasan pilihan raya negeri baharu telah dicadangkan, manakala 10 kawasan lain pula dicadangkan untuk ditukar nama.
Bukan itu sahaja, satu kawasan pilihan raya Persekutuan dalam negeri Sarawak turut dicadangkan untuk ditukar nama.
Kawasan pilihan raya negeri baharu yang dicadangkan itu termasuklah Jagoi, Pasir Pandak, Matang, Semarak, Tabuan Jaya, Maong, Samarindah, Sungai Serin, Igan, Tanah Mas, Sungai Merah, Bukit Kemuyang, Melekun, Batu Niah, Permaisuri, Tudan dan Usun Apau.
Manakala bagi 10 kawasan pilihan raya negeri yang dicadangkan bertukar nama pula ialah Serayan (sebelum ini Opar), Singai (sebelum ini Tasik Biru), Bung Sadung (sebelum ini Tarat), Muara Lassa (sebelum ini Semop), Matu (sebelum ini Jemoreng), Rassau (sebelum ini Bawang Assan), Jepak Jaya (sebelum ini Jepak), Pantai Beraya (sebelum ini Lambir), Lopeng (sebelum ini Senadin) dan Gunong Murud (sebelum ini Ba’kelalan).
Bagi kawasan pilihan raya Persekutuan atau Parlimen pula, cadangan pertukaran nama hanya melibatkan Batang Lassa, yang sebelum ini dikenali sebagai Igan.
Susulan kelulusan RUU tambah 17 kerusi DUN
Pada Julai tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025, bagi menambah 17 kerusi baharu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN kepada 99 kerusi.
Ketika ini, jumlah kerusi DUN Sarawak masih kekal sebanyak 82 kerusi sahaja.
Sebagai rekod, mandat Kerajaan Negeri Sarawak dijangka akan tamat pada Februari 2027.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.