
Rakyat Malaysia telah mengalami kerugian melebihi RM532 juta akibat penipuan telefon dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan golongan muda paling banyak menjadi mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 7,473 kes direkodkan sejak tahun 2023 hingga Jun 2025.
“Pada 2023, sebanyak 3,027 laporan diterima dengan jumlah kerugian RM158.8 juta, dan seramai 1,139 individu telah ditahan. Tahun 2024 mencatatkan 2,825 kes dengan kerugian RM142.2 juta dan 1,281 tangkapan.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,621 kes direkodkan melibatkan kerugian RM72.95 juta dan 713 suspek ditahan.”
Katanya, sindiket menggunakan taktik menakut-nakutkan dan menyamar sebagai pihak berkuasa untuk memperdaya mangsa.
Golongan umur 21 hingga 30 tahun paling ramai terlibat (2,736 kes), diikuti umur 31–40 (1,361), 41–50 (1,037), 61 ke atas (914), 51–60 (858) dan 15–20 (528).
“Ramai mangsa tidak tahu bahawa siasatan rasmi tidak dijalankan melalui panggilan telefon. Mereka akan diugut kononnya terlibat dalam jenayah seperti pengubahan wang haram, dan ditakutkan dengan tindakan undang-undang,” katanya.
“Ramai juga terlalu takut atau malu untuk bertanya kepada ahli keluarga, lalu terpedaya.”
“Agensi kerajaan tidak akan memindahkan panggilan antara jabatan. Didikan dan kesedaran adalah pertahanan terbaik.”
Orang awam digesa membuat laporan jika menerima panggilan meragukan atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997.