
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan pertembungan separuh akhir Piala Dunia menentang Perancis sebagai “final sebelum final”.
Beliau berkata demikian selepas pasukannya menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir menerusi gol kemenangan Mikel Merino pada minit ke-88 di Los Angeles.
De la Fuente percaya Sepanyol mampu menewaskan mana-mana pasukan, termasuk pilihan utama kejohanan, Perancis, yang diperkuatkan penyerang berbisa, Kylian Mbappe.
“Tidak keterlaluan untuk menyifatkan perlawanan ini sebagai final sebelum final,” kata De la Fuente pada sidang media selepas perlawanan.
“Kami adalah antara pasukan yang mampu mara ke final. Mulai sekarang, tumpuan kami sepenuhnya terarah kepada Perancis. Kami sedar potensi besar yang mereka miliki, tetapi kami juga tahu kami adalah satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan mereka dalam dua aksi separuh akhir.”
Sepanyol menewaskan Perancis pada separuh akhir Euro 2024 dalam laluan menjulang kejuaraan Eropah, dan sekali lagi menundukkan lawan sama pada separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025.
“Perlawanan ini akan menjadi lebih terbuka berbanding sebelum ini. Kami perlu meningkatkan tahap permainan dan akan memberikan segala-galanya. Perancis berada pada prestasi yang sangat baik dan kami mempunyai gaya permainan yang berbeza. Kami amat menghormati lawan, tetapi kami yakin mampu menewaskan mana-mana pasukan,” katanya.
Merino ledak gol kemenangan pada minit akhir
Sepanyol melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Belgium dalam aksi suku akhir di Stadium SoFi, Los Angeles. Fabian Ruiz meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-30, namun kelebihan itu dipadam Charles De Ketelaere yang meledak gol penyamaan Belgium, empat minit sebelum tamat babak pertama.
Ketika perlawanan seakan bakal diheret ke masa tambahan, Mikel Merino muncul wira Sepanyol apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-88, hasil rembatan jarak jauh Pau Cubarsi yang gagal diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens.
Courtois bersimpati dengan Lammens
Thibaut Courtois memberi sokongan kepada penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens, selepas kesilapan pemain Manchester United itu memberikan kemenangan 2-1 kepada Sepanyol dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026.
Bintang Real Madrid, Courtois, dikeluarkan pada minit ke-71 selepas mengalami masalah otot dan memberi laluan kepada penjaga gol simpanan berusia 24 tahun itu untuk dimasukkan dalam aksi di Stadium SoFi, Los Angeles.
Namun, kemasukan Lammens berakhir dengan “tragedi” apabila dia gagal menyelamatkan dengan baik bola rembatan jarak jauh Pau Cubarsi, dan Mikel Merino mengambil peluang itu untuk meledak gol kemenangan Sepanyol pada minit ke-88.
Courtois, 34, yang mendedahkan kepada pemberita bahawa dia sebenarnya mahu kekal di atas padang sebelum digantikan, turut bersimpati dengan Lammens.
“Anda tidak boleh berkata lebih banyak kepadanya atau memberikan lebih banyak nasihat. Dia seorang yang kuat, memiliki personaliti yang kuat. Saya pasti dia dalam keadaan baik. Anda tahu, dia akan mempunyai masa untuk bercuti dan kemudian kembali berkumpul semula di Manchester serta menikmati musim yang hebat,” katanya.
Courtois turut mendedahkan dia berasa sakit pada kaki kanannya di awal babak kedua selepas menyelamatkan gawangnya, dan mahu kekal di atas padang sebelum dikeluarkan pengurus Belgium, Rudi Garcia.
“Sudah tentu, saya mahu teruskan, tetapi jurulatih mahukan seseorang yang boleh berikan 100 peratus. Saya mahu cuba bermain mungkin lima atau 10 minit kerana saya berasa baik. Jadi, itu adalah keputusan jurulatih dan ia bukan masalah,” kata Courtois.
“Sudah tentu anda tidak gembira apabila perlu meninggalkan suku akhir Piala Dunia. Namun, kadang-kadang ia adalah apa yang berlaku. Anda tidak boleh mengubahnya.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.