
Satu kejadian serangan rawak di kawasan Stesen Taipei dan Zhongshan pada petang Jumaat mengorbankan tiga orang termasuk suspek, manakala enam lagi cedera.
Menurut laporan BBC, pihak berkuasa Taiwan berkata suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang maut selepas terjatuh dari bangunan ketika dikejar polis. Motif kejadian masih disiasat.
Insiden berlaku sekitar jam 5.20 petang apabila suspek membaling bom asap dan bom petrol di laluan bawah tanah berhampiran pintu keluar M7 Stesen Taipei.
Suspek kemudian bergerak ke Stesen MRT Zhongshan dan melakukan serangan secara rawak menggunakan senjata tajam, mencederakan beberapa orang awam.
Beberapa mangsa dilaporkan kritikal, dengan dua mangsa mengalami henti jantung sebelum tiba di hospital.
Suspek kemudian melarikan diri ke pusat beli-belah Eslite Nanxi sebelum terjatuh dari bangunan dan disahkan meninggal dunia.
Perdana Menteri Taiwan mengarahkan peningkatan kawalan keselamatan di semua stesen, sistem MRT dan lapangan terbang di seluruh negara.
Presiden Taiwan berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi memastikan keselamatan awam terus terjamin.
Polis telah mengaktifkan pusat tindak balas antikeganasan untuk menyiasat motif dan kemungkinan penglibatan pihak lain.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.