
Tindakan seorang wakil MCA menyebarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mengesahkan dakwaan penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar dilihat berpotensi menjejaskan kedudukan parti itu dalam kalangan pengundi Melayu.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, tindakan Adun Chennah, Siow Kong Choon menyiarkan pengumuman berkenaan tidak boleh dipandang remeh disebabkan sensitiviti yang menyelubungi isu tersebut.
Jelasnya, walaupun Siow bertindak atas kapasitinya sebagai exco, kedudukannya sebagai ahli politik bukan Melayu boleh dieksploitasi dengan mudah untuk menyemarakkan naratif campur tangan bukan Melayu dalam hal berkaitan institusi diraja Melayu.
“Saya tidak kata naratif itu benar, tetapi Barisan Nasional (BN) perlu memahami bagaimana politik persepsi berfungsi,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, kontroversi itu boleh mencetuskan ketakutan dalam kalangan orang Melayu, sekali gus mewujudkan persepsi bahawa mereka perlu berwaspada terhadap bukan Melayu dalam arena politik.
Beliau turut memberi amaran, tindakan seorang ahli politik akhirnya boleh dikaitkan dengan parti, gabungan, malah masyarakat bukan Melayu secara keseluruhan, sehingga mengheret semuanya ke dalam kontroversi berkenaan.
“Satu ‘share’ mungkin hanya mengambil beberapa saat, tetapi sentimen yang dicetuskannya boleh berlarutan bertahun-tahun.
“Dan apabila ketakutan berasaskan kaum dijadikan modal politik, MCA bukan satu-satunya pihak yang akan menanggung akibatnya,” katanya.
Bermula April lalu
Kontroversi itu bermula April lalu apabila empat Undang mengumumkan dakwaan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, dengan tiga daripadanya dipertikaikan kesahihan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) negeri itu.
Pada 16 September lalu, beberapa exco menyokong kenyataan tersebut dengan mengiktiraf Tengku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu Negeri Sembilan.
Siow antara wakil BN yang turut berkongsi proklamasi itu di media sosial. Sebaliknya, beberapa tokoh Pakatan Harapan termasuk bekas menteri besar Aminuddin Harun, Teo Kok Seong dan J Arul Kumar mencabar pendirian exco terbabit secara terbuka sambil menggesa orang ramai terus menyokong Tuanku Muhriz.
DKU menolak pendirian exco itu keesokan harinya, walaupun menteri besar Ismail Lasim kemudian mengesahkan keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat MMKN pada 15 September lalu.
Ia disusuli tindakan Jabatan Peguam Negara menolak pengumuman exco atas alasan tiada kesan dari segi undang-undang, sekali gus menyebabkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tidak mewartakan proklamasi berkenaan.
Jangan buat andaian automatik
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, pembabitan Siow membawa sensitiviti politik tersendiri, namun mengingatkan supaya tidak membuat andaian ia akan menjejaskan MCA secara automatik.
Jelasnya, Siow bertindak atas kapasitinya sebagai exco, walaupun peranannya sebagai pemimpin MCA bermakna tindakannya secara semula jadi boleh ditafsirkan sebagai membawa dimensi parti.
Katanya, sesetengah pengundi mungkin melihat kontroversi itu sebagai isu sensitif yang membabitkan institusi diraja, lalu menjangkakan ahli politik bertindak lebih berhati-hati kerana kegagalan berbuat demikian boleh meningkatkan ketegangan.
Namun begitu, beliau berkata banyak perkara bergantung sama ada pengundi menganggap tindakan Siow sebagai campur tangan politik atau sekadar pelaksanaan peranan institusinya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.