
Kecenderungan parti politik keberatan bertanding solo pada pilihan raya berpunca daripada kebimbangan berlakunya perpecahan undi, kata penganalisis.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, perpecahan undi orang Melayu merupakan ‘ketakutan terbesar’, terutama bagi Umno dan PAS.
“Sekiranya undi orang Melayu berpecah, mereka mungkin masih boleh menang, tetapi ia akan menjadi ulangan PRN Melaka 2021, di mana lebih satu pertiga daripada kerusi dimenangi majoritinya tipis.
“Rakyat mungkin akan mempersoalkan keabsahan (parti menang). Idea untuk (Umno dan PAS) bekerjasama adalah untuk menunjukkan mereka mendapat mandat rakyat, sekali gus membolehkan Pakatan Harapan (PH) ditumpaskan sepenuhnya,” katanya kepada FMT.
Syaza mengulas cadangan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, supaya semua gabungan dan parti politik bertanding solo pada PRN Melaka bagi menguji kekuatan sebenar menjelang PRU16.
Risiko sokongan sebenar lebih kecil
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata, parti yang bertanding solo berdepan risiko mendapati tahap sokongan sebenar jauh lebih kecil berbanding dakwaan pemimpin sendiri.
“Parti yang sering mendesak mendapatkan pembahagian kerusi yang besar mungkin mendapati pengaruh (sebenar) pada pilihan raya tidak sepadan dengan tuntutan,” katanya.
Menurut Zaharuddin, parti kecil mungkin kekurangan calon, dana, jentera pilihan raya dan rangkaian akar umbi yang mencukupi untuk bertanding secara bermakna di semua kawasan Parlimen atau DUN.
Parti lain pula mungkin bimbang keputusan buruk akan melemahkan kedudukan rundingan mereka menjelang PRU16.
Melaka jadi medan uji kaji
Syaza berkata, BN dan Perikatan Nasional (PN) dapat menggunakan PRN Melaka akan datang untuk menentukan pihak mana yang menguasai sokongan pengundi Melayu di negeri itu.
“Kita tahu jika mereka bekerjasama, mereka boleh meraih peratusan undi Melayu yang besar, namun kita tidak tahu sama ada sokongan itu didorong Umno atau PAS,” katanya.
Bagaimanapun, jika kedua-dua parti itu bertanding solo dan PAS muncul sebagai kuasa lebih berpengaruh, pandangan mengenai ‘gelombang biru’ mungkin tidak lagi tepat, katanya.
Zaharuddin pula berkata, Melaka menawarkan medan ujian politik yang bernilai, kerana keputusan PRN menjadi penanda aras berguna bagi parti politik menilai untung dan rugi. Pada 2021, BN menang 21 DUN, diikuti PH (lima) dan PN (dua).
“Namun, nilai sebenar bertanding solo jauh lebih daripada sekadar mengira jumlah kerusi. Ia membolehkan parti mengukur daya tarikan sebenar, kekuatan organisasi, kualiti calon serta keupayaan mereka menarik pengundi di luar asas sokongan tradisi.
“Gabungan politik kadang-kala boleh mewujudkan ilusi kekuatan dengan menggabungkan asas pengundi berbeza.
“Bertanding solo membantu mendedahkan parti mana yang mempunyai sokongan tulen akar umbi dan parti mana yang sangat bergantung kepada jentera, reputasi atau daya tarikan pilihan raya rakan kongsi mereka,” katanya.
PAS dan PH patut tanding solo
Syaza menjangkakan PAS akan bertanding PRN Melaka secara solo walaupun parti itu terus mendesak agar perpaduan ummah dicapai bersama Umno dan BN. Beliau berkata, langkah itu dapat mengukuhkan kedudukan rundingan parti tersebut.
PAS kini memegang dua daripada enam kerusi Parlimen di Melaka, iaitu Tangga Batu dan Jasin, manakala BN gagal menang sebarang kerusi pada PRU15.
Menurut Syaza, PAS berpeluang memperoleh kelebihan dalam rundingan masa hadapan dengan BN jika dapat mengatasi prestasi Umno sebagaimana yang berlaku pada PRU15.
“Tetapi, jika mereka kalah dan BN membentuk kerajaan Melaka, ia hanya kekal sebagai status quo. Lagipun, PAS bukannya hilang satu negeri.”
Dalam pada itu, Zaharuddin percaya PH juga sepatutnya bertanding solo di Melaka jika mahu membina asas kukuh menjelang PRU16.
“PH perlu mengetahui sama ada pengundi masih menyokong agenda reformasi, sama ada parti komponennya mampu mengekalkan kawasan DUN masing-masing, dan sama ada ia dapat meyakinkan pengundi yang belum membuat keputusan bahawa ia menawarkan kerajaan alternatif berwibawa,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.