
Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh, menegaskan beliau tidak akan berundur meskipun Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dalam kes saman fitnah.
Menerusi hantaran di Facebook beberapa jam selepas keputusan mahkamah itu, Akmal menyuarakan pendiriannya berhubung perkembangan terbaharu kes berkenaan.
“Ini masa kamu berkuasa. Kamu buatlah apa yang kamu nak buat. Untuk saya berundur, tidak sama sekali. Selamat berkempen,” tulisnya.
Teresa Kok menang saman
Pada Isnin, mahkamah memerintahkan Akmal membayar ganti rugi am sebanyak RM250,000 serta kos RM50,000 kepada Teresa.
Difahamkan, Teresa memfailkan saman pada 25 Oktober 2024. Beliau mendakwa Akmal mengeluarkan kenyataan menghina dan merendahkan dirinya menerusi video di aplikasi TikTok pada 7 September 2024.
Menurut Teresa, kenyataan itu menggambarkannya sebagai tidak mempunyai pengetahuan, khususnya berkaitan pensijilan halal, selain menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.
Teresa menamakan Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, sebagai defendan tunggal dan menuntut pampasan serta ganti rugi am dan teladan.
Akmal tidak hadir ketika keputusan mahkamah dibacakan. Teresa diwakili peguam Sankara Nair, manakala Akmal diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin.
Kelayakan bertanding PRN Melaka
Keputusan mahkamah dalam kes saman fitnah sivil itu tidak menyebabkan Akmal hilang kelayakan secara automatik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Kelayakannya perlu dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, memandangkan keputusan dalam kes saman fitnah sivil berbeza daripada sabitan jenayah.
Akmal masih boleh bertanding selagi memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan undang-undang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.