
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggunakan pendekatan ‘3R’ dalam menghadapi PRU16 bagi menambah jumlah wakilnya di Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agungnya, Armizan Mohd Ali.
Katanya, strategi itu merangkumi retain (pertahankan), regain (raih semula) dan reinforce (perkukuh).
Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata demikian dalam ucapan pembukaan Konvensyen GRS 2026 yang berlangsung di Kudat, semalam.
Pertahan tujuh kerusi sedia ada
Menurut Armizan, GRS mahu mempertahankan dahulu tujuh kerusi Parlimen yang dimilikinya sekarang.
Kerusi itu ialah Tuaran, Penampang, Ranau, Batu Sapi, Sipitang, Tawau dan Papar.
Raih semula dan perkukuh kawasan lain
Ahli Parlimen Papar itu berkata, GRS juga perlu meraih semula kawasan Parlimen yang sepatutnya sejak awal menjadi milik gabungan itu dan mempunyai asas sokongan pada PRN Sabah tahun lalu.
Kawasan terbabit ialah Libaran, Kalabakan, Pensiangan, Tenom, Beaufort, Keningau, Kimanis, Putatan, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Beluran.
Bagi kawasan selebihnya, beliau menegaskan pendekatan dan strategi perlu diperkukuh.
“Kita perlu ‘reinforce’ pendekatan dan strategi untuk memperluas kekuatan di kawasan-kawasan lain,” katanya, merujuk kerusi Sepanggar, Kota Kinabalu, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.
Suara Sabah di peringkat nasional
Armizan berkata, keperluan menambah kerusi Parlimen bukan sekadar untuk memperkukuh kedudukan GRS, tetapi juga penting bagi meningkatkan suara Sabah di peringkat nasional.
“Kita mesti mempunyai representasi signifikan dalam kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan ‘bargaining power’ kita dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Kekuatan dan suara ketua menteri (Hajiji Noor) dan kerajaan negeri perlu dimaknai dengan dukungan Ahli-ahli Parlimen GRS yang lebih ramai,” katanya.
Beliau sebelum ini menyatakan GRS berpotensi menang lebih 15 kerusi pada PRU16. Jangkaan itu dibuat berdasarkan simulasi keputusan PRN Sabah pada 29 Nov tahun lalu.
Dalam pada itu, Armizan mengingatkan pimpinan dan ahli GRS supaya mengambil pengajaran daripada prestasi gabungan itu pada PRN lalu.
Katanya, GRS sebenarnya berupaya memenangi lebih banyak kerusi, namun beberapa faktor pada saat kritikal menjejaskan prestasinya.
“Bukanlah niat saya menuntut kita menoleh ke belakang, namun amat penting bermuhasabah diri dan mengambil teladan daripada apa yang telah berlaku, bagi mengekang kekhilafan berulang dan memastikan kita lebih kuat melangkah ke depan.
“Kerana tidak boleh dinafikan apa yang telah berlaku telah membawa risiko yang sepatutnya boleh dielakkan lebih awal,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.