
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan tersebut dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), dengan mengambil kira penelitian terhadap keseluruhan dokumen dan representasi yang dikemukakan PN pada 12 Okt.
Penjelasan PN tidak cukup kukuh
Menurut JPPM, notis bertarikh 22 Sept dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966. Notis itu bertujuan memberi peluang kepada gabungan berkenaan mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.
“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis berkenaan.
“Ia juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Kronologi penggantungan dan tindakan mahkamah
Pada 24 Sept, JPPM memaklumkan status semasa PN adalah digantung. Gabungan itu diberi tempoh munasabah untuk menjawab notis yang dikeluarkan mengikut subseksyen 13(2) Akta 832, bagi menjelaskan aduan yang dilaporkan Bersatu.
JPPM berkata semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 Sept, sejajar dengan subseksyen 13(2A) Akta 832.
Pada 5 Okt, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar notis yang dikeluarkan JPPM itu.
Pada 13 Okt, mahkamah sama membenarkan PN mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar dua notis yang dikeluarkan JPPM.
Namun, Hakim Azizan Arshad tidak membenarkan penangguhan sementara terhadap penggantungan aktiviti gabungan itu oleh JPPM untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.