
Pencapaian sepanjang tiga tahun pentadbiran Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka disifatkan sukar dihuraikan secara ringkas kerana melibatkan pelbagai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan bagi mengubah landskap pembangunan negeri itu.
Beliau berkata, dasar yang diperkenalkan dalam tempoh berkenaan memberi manfaat serta pulangan positif kepada rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan sosial.
Dasar berteraskan kepentingan rakyat
Menurutnya, pendekatan pentadbiran yang diamalkan sentiasa berasaskan kepentingan rakyat dengan memastikan setiap dasar memberi impak langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
“Di bawah pentadbiran ini, saya yakin semua dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat. Biarlah rakyat menilai kerana penilaian itu datang daripada mereka sendiri,” katanya selepas menjadi tetamu di stesen radio Melaka FM di Jalan Taming Sari.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara berkata, kejayaan yang dicapai merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk penjawat awam, pemimpin setempat dan rakyat yang terus menyokong dasar kerajaan negeri.
Masih ada ruang penambahbaikan
Dalam masa sama, beliau mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dan berjanji akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan Melaka menjadi negeri yang lebih maju serta berdaya saing.
Beliau menegaskan komitmen untuk mempertingkatkan lagi prestasi pentadbiran melalui pelaksanaan dasar yang lebih berkesan dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Fokus santuni rakyat menjelang PRN
Mengulas hala tuju tahun ini, Ab Rauf berkata tiada misi besar diumumkan, sebaliknya tumpuan diberikan kepada usaha mendekati rakyat serta menunaikan janji yang masih belum diselesaikan.
“Tahun ini tiada misi lain selain menghadapi pilihan raya. Kita akan terus melaksanakan program santuni rakyat serta mendengar keluhan mereka untuk diambil tindakan segera,” katanya.
Untuk rekod, Pilihan Raya Negeri Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini susulan penggal Dewan Undangan Negeri ke-15 akan berakhir pada 30 Disember.
Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac 2023 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam, berikutan peletakan jawatan Sulaiman Md Ali atas faktor kesihatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.