
Dakwaan Perikatan Nasional (PN) bakal diberikan hanya tujuh kerusi dalam rundingan pembahagian kerusi bersama UMNO bukanlah angka muktamad, kerana segala perkara masih perlu diputuskan di meja rundingan. Ini menurut Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Beliau berkata, angka tujuh, 10, 20 atau mana-mana jumlah kerusi yang disebut sebelum ini hanyalah andaian dan tawaran awal, sebelum rundingan rasmi bermula.
“Memang kebiasaannya sebelum rundingan itu masing-masing akan bercakap, meletakkan harga yang ‘tinggi’.
“Jadi apabila duduk di meja rundingan, kita akan lihat bagaimana pemimpin-pemimpin tertinggi kita menguruskan perbezaan, dan pastinya akan ada kompromi sedikit sebanyak.
“Natijahnya, kita harapkan yang terbaik bagi semua pihak,” katanya ketika ditemui di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa PN akan diberikan hanya tujuh kerusi sekiranya kerjasama dengan UMNO dimeterai bagi menghadapi PRN Melaka.
Baki tujuh kerusi tidak ditandingi BN
Media sebelum ini melaporkan, rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka antara parti komponen PN terhad kepada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Gabungan parti yang diketuai Pas itu kini cenderung kepada baki tujuh kerusi yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN), sekiranya persefahaman politik mencapai kata putus yang positif.
Mengulas sama ada kerjasama masih perlu diteruskan sekiranya tawaran kepada PN hanya melibatkan tujuh kerusi, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.
Menurutnya, jumlah kerusi yang akan diperuntukkan tidak wajar dijadikan keputusan awal kerana rundingan sebenar masih belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Syahir menyifatkan rundingan antara Pas dan UMNO sebagai sangat positif, selari dengan semangat Penyatuan Ummah yang semakin mendapat perhatian kedua-dua parti.
Beliau turut menyatakan sentimen akar umbi serta rakyat secara keseluruhan menunjukkan wujud kehendak supaya parti-parti Melayu membentuk satu bentuk penyatuan dan kerjasama.
“Sebagaimana yang Tuan Guru Presiden sebut, memang sangat positiflah. Pastinya di atas semangat Penyatuan Ummah di peringkat Pas dan juga UMNO yang disambut oleh akar umbi.
“Kita melihat sekarang ini sentimen akar umbi, sentimen rakyat secara keseluruhannya, orang Melayu mahukan satu bentuk penyatuan dan kerjasama.
“Menjadi satu tanggungjawab kepada pihak-pihak yang berunding itu untuk mendapat satu natijah hasil rundingan yang baik,” katanya.
Bersatu tidak boleh putuskan sendiri isu kepimpinan PN
Berhubung hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengambil alih sepenuhnya kepimpinan PN sekiranya Pas meninggalkan gabungan itu, Mohd Syahir menegaskan perkara itu tidak boleh diputuskan oleh Bersatu secara bersendirian.
Sebarang keputusan berkaitan keanggotaan Majlis Tertinggi PN, jelasnya, perlu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi.
“Apa jua bentuk pendekatan, tindakan, langkah politiknya, nak dilantik Pengerusi, nak dilantik ahli Majlis Tertinggi, semua kena masuk dalam mesyuarat.
“Jadi bergantung pada keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi. Saya nak komen pun di luar bidang kuasa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Bersatu bersedia mengambil alih sepenuhnya kepimpinan PN sekiranya Pas membuat keputusan meninggalkan gabungan itu, demi membentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN). Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Afif Bahardin, sebelum ini menyatakan partinya tidak gentar atau bergantung semata-mata kepada Pas, memandangkan asas penubuhan PN sejak awal diterajui oleh Bersatu.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata mesyuarat yang sepatutnya berlangsung pada 19 September lalu ditangguhkan atas beberapa faktor. Tarikh baharu mesyuarat itu, katanya, masih belum diputuskan, namun beliau mengesahkan ia akan diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.