
Sebagai parti baharu dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Wawasan Negara (Wawasan) dinasihatkan supaya tidak mendahului keputusan pucuk pimpinan dan perlu menghormati proses rundingan yang masih berjalan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Yang Dipertua PAS Jasin, Kamaruddin Sedik berkata, setakat ini isu pengagihan kerusi masih belum dibincangkan secara rasmi dan belum ada sebarang kata putus mengenainya.
“Wawasan tak perlu ‘over’ dan mendahului keputusan yang bakal dibuat. Serahkan kepada pucuk kepimpinan PN untuk membuat keputusan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
“Jangan mendahului pucuk kepimpinan PN. Sebagai anggota baharu, saya nasihatkan Wawasan akur sahaja dengan keputusan yang bakal dibuat kelak,” tambahnya.
PN mungkin bertanding solo
Semalam, Naib Presiden Wawasan, Abdul Rahim Thamby Chik dilaporkan berkata PN berkemungkinan bertanding solo dengan meletakkan calon di semua kerusi pada PRN Melaka sekiranya gagal mencapai rundingan dengan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga bekas ketua menteri Melaka berkata, Wawasan tetap akan bertanding di DUN Bemban dan Sungai Udang, tidak kira sama ada wujud kerjasama dengan BN atau tidak pada pilihan raya kelak.
Kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini dimenangi Bersatu, yang masih kekal sebagai komponen PN tetapi kini berselisih dengan PAS, parti yang mempengerusikan gabungan itu.
Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 30 Disember ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.