
Presiden Umno, Zahid Hamidi, menyifatkan laungan “Tolak Umno” ketika Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Negeri Sembilan, sebagai reaksi akar umbi yang mungkin tidak memahami sepenuhnya pendirian Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, pimpinan tertinggi PH memahami situasi sebenar dan isu yang melibatkan hubungan antara parti dalam gabungan kerajaan.
Zahid hormati pendirian pimpinan PH
Menurut Zahid, himpunan berkenaan dianjurkan oleh PH dan majoriti hadirin terdiri daripada penyokong serta ahli parti komponen gabungan itu.
“Mereka sudah memaklumkan kepada saya. Kumpulan sasarannya adalah parti dan ahli komponen dalam PH.
“Jadi bukan soal jemput atau tidak dijemput, tetapi crowd itu adalah crowd mereka (PH),” katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Beliau berkata, beliau turut mengikuti ucapan pimpinan PH dalam himpunan tersebut dan menghargai pendekatan matang yang ditunjukkan pemimpin utama gabungan itu di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Saya sudah perhatikan dalam kalangan pimpinan atasan parti-parti komponen dalam PH, mereka sangat memahami duduk perkara dan isu ini.
“Saya menghargai pemimpin utama parti-parti dalam PH di peringkat Persekutuan dan juga negeri,” katanya.
Sentimen akar umbi berbeza
Bagaimanapun, Zahid berkata beliau memahami sentimen akar umbi yang melaungkan slogan “Tolak Umno” kerana kemungkinan mereka tidak mendapat gambaran jelas mengenai pendirian sebenar Umno dan BN.
“Tetapi di peringkat akar umbi itu saya faham perasaan mereka kerana mereka mungkin tidak mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang saya nyatakan dan apa pendirian yang dibuat oleh Umno dan BN,” katanya.
Umno Negeri Sembilan kekal bersama kerajaan perpaduan
Semalam, Umno Negeri Sembilan dilaporkan menyuarakan pendirian menolak kepimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun, berhubung isu berkaitan adat dan institusi pemerintahan negeri.
Bagaimanapun, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor, dilaporkan berkata pihaknya tetap menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan negeri.
Keputusan itu dibuat menerusi Biro Politik Umno dan Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.