
Presiden Umno, Zahid Hamidi, menegaskan parti itu kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan dan tidak pernah membincangkan soal pengganti Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Bercakap kepada media selepas menghadiri satu majlis, beliau berkata Umno tidak berminat untuk menjadi pembangkang seperti disuarakan Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, Sabtu lalu.
“Kita tiada niat untuk menjadi pembangkang, itu hanya satu kenyataan sahaja.
“Tetapi Umno pusat telah memutuskan bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Negeri Sembilan kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di negeri itu,” katanya.
Krisis politik Negeri Sembilan terus hangat
Minggu lalu, 14 Adun Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan penarikan balik sokongan terhadap Aminuddin susulan dakwaan kegagalannya menguruskan krisis institusi di negeri itu sehingga menjadi perdebatan umum.
Perkembangan tersebut berlaku ketika krisis berterusan melibatkan empat pembesar yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada Sabtu lalu, Jalaluddin dilaporkan berkata pihaknya rela menjadi pembangkang daripada terus bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri susulan krisis adat dan perlembagaan yang berlaku.
Menurut beliau, pendirian itu diambil kerana mereka tidak mahu terus melihat kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Aminuddin.
BN sentiasa bersedia hadapi PRN
Mengulas kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut, Zahid yang juga Pengerusi BN berkata semua parti komponen sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
“Semua parti telah bersiap sedia dan paling penting apabila mandat kepada rakyat diserahkan semula, rakyat harus memilih kombinasi terbaik,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, yang mengarahkan seluruh jentera parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
Agenda Bumiputera terus diperkasa
Dalam perkembangan lain, Zahid menegaskan agenda Bumiputera kekal menjadi asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memberi jaminan bahawa peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus diperkasakan selaras dengan matlamat asal penubuhannya.
Menurutnya, perkara itu jelas termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, selain menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui pemimpin pelbagai kaum sebelum kemerdekaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa dalam konteks semasa, usaha memperkasakan agenda Bumiputera tidak bermaksud meminggirkan kaum lain, sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada agenda nasional yang lebih menyeluruh.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.