
Kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai situasi ekonomi global tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mencerminkan kesedaran awal kerajaan terhadap risiko yang sedang berlaku.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Danish Hairudin berkata terdapat pihak yang cuba memperlekeh kenyataan tersebut seolah-olah ia perkara kecil, sedangkan dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu, setiap isyarat ekonomi yang disampaikan kerajaan mempunyai kepentingan tersendiri.
Menurutnya, perkembangan semasa menunjukkan konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat telah memberi kesan ketara kepada pasaran tenaga dunia.
Konflik global beri kesan kepada pasaran tenaga
Danish berkata harga minyak mentah Brent meningkat dengan ketara dan pernah melepasi paras AS$100 setong.
Tambahnya, penganalisis turut memberi amaran bahawa harga minyak boleh mencecah AS$150 setong sekiranya gangguan bekalan berterusan.
“Harga minyak mentah Brent melonjak mendadak dan pernah melepasi paras AS$100 setong, malah penganalisis memberi amaran ia boleh mencecah AS$150 setong sekiranya gangguan bekalan berterusan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila konflik tersebut turut memberi kesan kepada laluan strategik seperti Selat Hormuz.
Menurutnya, laluan berkenaan mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia dan sebarang gangguan boleh mencetuskan risiko krisis tenaga global.
Malaysia turut berdepan risiko ekonomi
Danish berkata gangguan terhadap laluan tersebut berpotensi memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia.
Beliau menjelaskan dalam keadaan sedemikian, kerajaan yang bertanggungjawab perlu membuat persediaan lebih awal dari segi dasar fiskal, subsidi bahan api serta kestabilan ekonomi negara.
“Malaysia tidak kebal daripada kejutan harga tenaga dunia kerana lonjakan harga minyak global boleh memberi tekanan kepada inflasi, nilai mata wang serta kos sara hidup rakyat,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri mungkin kelihatan ringkas, namun mesejnya jelas bahawa kerajaan sedang memberi amaran awal dan membuat persediaan ekonomi bagi menghadapi ketidaktentuan global.
Kritikan terhadap pengumuman khas kerajaan
Danish turut menyifatkan tindakan pihak tertentu yang memperlekeh kenyataan tersebut sebagai sesuatu yang ironis.
“Mungkin kerana mereka tidak pernah memahami bahawa dalam pengurusan ekonomi negara, isyarat kecil hari ini boleh menentukan kestabilan besar pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menerusi satu hantaran di media sosial mempersoalkan keperluan kerajaan membuat pengumuman khas berkaitan beberapa perkara.
Beliau berpendapat isu seperti harga minyak yang kekal, larangan mengadakan jamuan raya serta perjalanan menteri ke luar negara boleh dimaklumkan melalui saluran biasa.
Menurutnya, perkara tersebut boleh disampaikan melalui laporan berita, pekeliling kepada kementerian dan agensi atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tanpa perlu menunggu satu pengumuman khas kepada seluruh negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.