
Bung Moktar seolah-olah sudah memahami bahawa PRN17 Sabah merupakan pilihan raya terakhirnya apabila menyatakan perkara itu kepada rakan-rakan dalam parti.
Rakaman video yang tular memaparkan Yakub Khan berkongsi permintaan arwah yang mahu beliau bertanding di kerusi DUN Karambunai.
Menurut Yakub, beliau telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dan meminta parti mencari calon lain tetapi permintaan itu ditolak arwah.
“Saya sudah minta parti cari calon lain di Karambunai ini, saya cakap dengan Zahid dan saya cakap dengan Bung, bos carilah calon lain, saya nak berehat,” katanya dalam video berkenaan.
Yakub berkata beliau tetap menyatakan kesediaan untuk membantu sesiapa sahaja calon yang diletakkan parti, namun arwah mahu mereka menghadapi pilihan raya itu bersama-sama.
Dalam video sama, beliau turut mendedahkan bahawa Zahid memintanya bertanding demi kepentingan parti pada PRN17 yang berakhir 29 November lalu.
Yakub gagal mempertahankan kerusi Karambunai setelah tewas kepada calon PN, Aliakbar Gulasan dalam saingan 11 penjuru.
Situasi sebelum pemergian
Semalam, Bung Moktar yang memenangi kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi meninggal dunia pada jam 1.46 pagi di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Beliau difahamkan mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas disembahyangkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Sepanjang kempen PRN17, kesihatan arwah dilaporkan kurang baik dan beliau kelihatan lemah pada hari terakhir kempen.
Perkara itu turut dikongsikan pelakon Shaheizy Sam yang membantu arwah berkempen di DUN Lamag.
Arwah meninggal dunia enam hari selepas mempertahankan kerusi Lamag untuk penggal kedua.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.