Kerajaan Madani mempunyai kewajipan moral untuk menyiasat sumber wang RM50 juta yang digunakan bagi melunaskan denda yang dikenakan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, kata Tokoh Wartawan Negara A Kadir Jasin.
Kadir berkata, kerajaan yang berulang kali menegaskan komitmennya memerangi rasuah perlu memastikan bayaran itu datang daripada sumber yang sah, tanpa mengira siapa penyumbangnya.
Gesaan siasat jejak wang RM50 juta
“Walaupun Umno yang bayar denda itu, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyiasat bagi mengenal pasti jejak wang RM50 juta itu,” katanya.
Menurut beliau, jumlah yang besar itu wajar diteliti asal usulnya, termasuk sama ada terdapat sumbangan daripada individu atau syarikat yang pernah meraih manfaat daripada kontrak kerajaan sebelum ini.
“Sesetengah ahli perniagaan yang dapat manfaat daripada projek-projek ini mungkin berasa terhutang budi. Walaupun sebahagian projek itu berjalan lancar, kemungkinan berlakunya rasuah tidak boleh ditolak sepenuhnya,” tambahnya.
Pada 6 November lalu, diumumkan bahawa Umno melunaskan bayaran denda RM50 juta itu secara penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September mencapai sasaran kutipan. Justeru, akaun khas yang dibuka bagi menerima sumbangan orang ramai ditutup.
Pembayaran denda itu antara syarat pengampunan diraja Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat lain yang ditetapkan.
Bekas presiden Umno itu mula dipenjarakan pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya atas kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sumber dana mungkin perlu disaring
Bekas presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Khalid Ahmad, berkata pada asasnya tiada salah mengutip derma, asalkan ia datang daripada sumber yang sah.
“Tidak salah kutip derma, asalkan sumbernya sah di sisi undang-undang,” katanya kepada FMT.
“Proses saringan itu bukan matlamatnya, tetapi sumbernya mungkin perlu disaring.”
Menurut Khalid, bank dan pihak berkuasa penguatkuasaan mempunyai kuasa untuk mengesan asal usul dana di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001, jika perlu.
“Bank, BNM dan polis mempunyai hak menyemak dari mana datangnya wang itu dan sama ada ia diperoleh daripada sumber yang sah,” katanya.
Garis panduan pencegahan pengubahan wang haram BNM memperuntukkan semakan transaksi berasaskan risiko, termasuk penelitian lebih ketat ke atas sumber dana bagi kes berisiko tinggi.
Tiada undang-undang wajibkan pendedahan penyumbang
Gesaan itu menyusuli kenyataan bekas ahli panel pemantauan SPRM, Walter Sandosam, bahawa tiada undang-undang yang mewajibkan Umno mengaudit sumbangan tersebut atau mendedahkan identiti penyumbang.
Sandosam berkata, usaha kutipan dana itu merupakan inisiatif persendirian, walaupun beliau mengakui kontroversi berkenaan menyerlahkan keperluan undang-undang bagi mengawal selia pembiayaan politik.
Khalid berkata, ketiadaan syarat untuk Umno mendedahkan penyumbangnya merupakan perkara berasingan daripada keupayaan institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan memeriksa pergerakan wang dalam sistem perbankan.
Bagi Kadir, mengenal pasti sumber pembayaran itu akan membantu menjawab persoalan yang menyelubungi kutipan dana berkenaan, tanpa bergantung kepada spekulasi mengenai pihak yang sebenarnya membiayainya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.