Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, menyerahkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk menentukan sama ada peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan diterima.
Beliau berkata, sehingga kini belum ada pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan perkara itu.
“(Sama ada masih menteri atau tidak) anda perlu tanya kepada perdana menteri. Bagi saya, saya sudah letak jawatan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini.
Pada 12 November lalu, Anwar dilaporkan berkata beliau mahu berunding semula dengan Loke berhubung peletakan jawatan itu. Anwar berkata, sebagai perdana menteri, beliau belum membuat keputusan mengenai surat peletakan jawatan Loke yang telah diterimanya.
DAP terbuka kepada lambang sendiri
Mengulas isu penggunaan lambang parti pada PRU16, Loke berkata DAP sentiasa terbuka kepada cadangan supaya parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan lambang masing-masing.
Namun, katanya, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Presiden PH.
“DAP juga akan memberikan pandangan kita dan sudah tentu kita juga ada cadangan bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Khemah besar tidak wajar dibincang di media
Ditanya sama ada DAP bersedia menjayakan agenda khemah besar bersama parti di luar PH, termasuk Bersatu, Loke berkata perkara itu perlu dibincangkan secara dalaman, bukan secara terbuka di media.
“Jadi, yang paling baik segala cadangan dan perbincangan ini diadakan terlebih dahulu sebelum sesuatu kenyataan dibuat secara terbuka atau di media. Ia tidak akan mencapai hasrat atau objektif yang diinginkan, jika dibincangkan secara terbuka.
“Ini kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. DAP juga mempunyai pandangan kita sendiri. Jadi, seperti yang saya katakan, adalah lebih baik cadangan itu dibincangkan secara tertutup,” katanya.
Loke turut menambah bahawa cadangan khemah besar itu hanya di peringkat Amanah, bukannya PH.
Tegasnya, setakat ini tiada sebarang perbincangan dibuat DAP berhubung kerjasama dengan Bersatu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.