MCA berhasrat menambah kemenangan buat Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam siri pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata parti itu selaku rakan setia BN akan tetap bersama dan sepakat dalam apa sahaja perancangan yang digerakkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
“Mengorak langkah ke hadapan, MCA bertekad untuk menambah kemenangan buat BN baik di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), baik dalam PRN mahupun PRU.
“Apa saja rencana Ahmad Zahid, MCA sebagai rakan setia dalam BN akan tetap bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung MCA ke-4 bagi Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini pada Ahad.
Selain Ahmad Zahid, majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon; Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir; Timbalan Presiden MIC, M Saravanan; Setiausaha Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), K Santhra Segaran; mantan Presiden MCA serta perwakilan dari seluruh negara.
Tiga pendekatan, tiga negeri
Menjelang PRU16, Ka Siong menegaskan MCA akan terus bekerja kuat di bawah payung BN, sama ada secara solo, bersama rakan strategik atau melalui konsep muafakat seperti di Melaka. Pendekatan terbaik akan dipilih berdasarkan kesesuaian landskap politik dan keadaan di kawasan yang ditandingi.
“Sebagai sebuah parti komponen BN, MCA bersyukur kerana di ketiga-tiga negeri, kerajaan yang dibentuk mempunyai ciri kepelbagaian.
“Pengalaman di tiga negeri memperlihatkan keberkesanan tiga pendekatan berbeza. Tidak ada satu formula untuk semua medan pertempuran seperti mana disebut Pengerusi BN sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman menghadapi tiga PRN di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan kerusi MCA bertambah sekali ganda, daripada enam kepada 12 kerusi.
“Di Johor, kita bertanding solo dan kita menang besar. Di Negeri Sembilan, BN berjaya mengatur strategi bersama PN, di mana BN bertanding di hampir 70 peratus kerusi.
“Di Melaka, BN dan PN bekerjasama di bawah kerangka Muafakat Melaka.
“MCA bukan saja mengekalkan dua kerusi yang ada dan memperbaiki kedudukan di dua kerusi lagi, malah membuktikan MCA mampu menarik sokongan komuniti majmuk dan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Ka Siong berkata, MCA turut berjaya mengekalkan dua kerusi di Melaka dengan peningkatan majoriti di DUN Kelebang dan Machap Jaya.
Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) MCA kini bertambah kepada 16 orang, termasuk dua ADUN lantikan di DUN Melaka.
Prinsip kerjasama dan sokongan kepada Malaysia Biru
Ka Siong berkata, MCA akan terus mempertahankan prinsip kesederhanaan, kepelbagaian dan sikap saling menghormati tanpa mengira parti atau gabungan yang menjadi rakan kerjasama. Sebarang kerjasama politik, katanya, perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta mengambil kira hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia.
“MCA tetap MCA. Tanpa mengira parti atau gabungan mana kita bekerjasama, nilai-nilai sejagat BN termasuk semangat musyawarah, menitik-beratkan inklusiviti dan kepelbagaian perlu menjadi prinsip asas kerjasama politik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Di medan pilihan raya pula, apa pun modelnya, MCA tetap mempertahankan nilai teras kita,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menambah, MCA akan memberi sokongan penuh kepada Agenda Malaysia Biru yang digagaskan Pengerusi BN dalam usaha merancang masa depan lebih baik untuk negara. Segala resolusi yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu dikemukakan sebagai cadangan untuk manifesto BN bagi PRU16.
Kebangkitan MCA dan peringatan jangan lupa diri
Ka Siong turut mengulas kebangkitan BN-MCA akhir-akhir ini yang menjadi keresahan parti lawan.
“Mereka tidak menyangka, MCA yang dahulu hanya memiliki satu kerusi Parlimen iaitu saya di Ayer Hitam, kini bertambah menjadi dua apabila rakyat memberi mandat kepada Wee Jeck Seng selaku Ahli Parlimen Tanjung Piai pada 2019 dengan majoriti 15,086 undi.
“Atas dasar itu, saya sekali lagi mahu merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana bertegas mahu meletakkan calon MCA di kawasan ini.
“Terima kasih daun keladi, kalau ada berilah lagi,” katanya berseloroh.
Beliau bagaimanapun mengingatkan semua ADUN yang menang supaya tidak terlalu selesa kerana masih banyak perkara perlu diperbaiki. Ahli parti juga diminta tidak lalai, sebaliknya terus bekerja keras mendekati rakyat dan membantu masyarakat.
“Kemenangan ini tidak datang bergolek begitu sahaja, inilah bukti kerja keras seluruh jentera BN.
“Namun, jangan kerana kemenangan ini membuatkan kita lupa diri, angkuh, sombong serta menjauhkan kita daripada rakyat.
“Jangan… jangan sesekali menjadi seperti ‘kacang lupakan kulit’. Ingatlah sentiasa bahawa berdirinya kita pada hari ini disebabkan sokongan ahli akar umbi dan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kemenangan yang diraih bukan alasan untuk MCA mengurangkan usaha. Parti itu perlu terus memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kerjasama dengan parti komponen BN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.