Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, memberi amaran bahawa parti itu kini berada dalam “mod krisis” dan perlu mengubah pendekatan dengan merangka strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, parti itu seolah-olah sudah selesa dan tidak menunjukkan semangat perjuangan seperti ketika membantu Pakatan Harapan (PH) menawan Selangor pada 2008.
“Kita berada dalam keadaan ‘krisis mood’. Orang lain mahu menjatuhkan parti kita, mahu menjatuhkan kerajaan kita. Kita mesti serius dalam perjuangan dan mengambil semangat untuk mempertahankan serta berjuang seperti semangat kita pada 2008.
“Pada 2008, sebelum menang, semua bersemangat. Selepas menang, kita seolah-olah sudah selesa. Perkara ini mesti kita cegah dan kita perlu sentiasa berhati-hati,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor.
Perubahan demografi pengundi jadi cabaran
Loke turut mengakui PH berdepan cabaran di Selangor, termasuk perubahan demografi pengundi susulan perpindahan penduduk dari negeri-negeri SG4 ke Selangor untuk bekerja, sebelum menukar alamat pendaftaran mengundi ke negeri itu.
“Ini strategi yang sedang dirancang dan dilaksanakan. Ini cabaran besar kepada PH Selangor dan kita mesti mencari jalan untuk menanganinya.
“Justeru, perkara yang sangat penting ialah bagaimana kita memberikan inspirasi kepada pengundi Selangor bahawa PH merupakan pilihan untuk meneruskan kepimpinan di negeri ini,” katanya.
Prestasi pentadbiran semata-mata tidak mencukupi
Menurut Loke, perkembangan politik di beberapa negeri, termasuk Melaka dan Negeri Sembilan, menunjukkan prestasi pentadbiran semata-mata tidak mencukupi.
Beliau berkata, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berjaya menyatukan kekuatan serta memainkan sentimen penolakan terhadap DAP.
Amaran kehilangan mandat di Selangor
Loke memberi amaran bahawa kegagalan PH mempertahankan Selangor pada pilihan raya akan datang bukan sekadar menyebabkan gabungan itu kehilangan kedudukan dalam kerajaan. Malah, ia boleh menjejaskan kesinambungan pencapaian pentadbiran sejak 2008.
“Kalau kita hilang kekuatan ataupun mandat di Selangor, apa yang telah dicapai dalam tempoh 18 tahun sejak 2008 akan hilang dan lenyap.
“Kemajuan yang telah kita capai akan berundur ke belakang. Kita mahu terus mara dan maju ke hadapan, bukan menoleh ke belakang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.