
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkemungkinan memilih pendekatan sebagai kuasa ketiga seperti dilakukan Muda, susulan laporan beliau bakal menyertai atau mengambil alih ‘rumah baharu’ minggu depan.
Penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, melalui pendekatan tersebut Hamzah dan parti baharunya boleh bertindak sebagai ejen politik bebas serta berunding dengan mana-mana pihak.
“Maksudnya mereka bertindak sebagai third force, iaitu kuasa ketiga,” katanya ketika mengulas platform yang mungkin menjadi pilihan Hamzah bersama pasukannya susulan krisis dalam Bersatu.
Opsyen jadi kuasa ketiga atau kekal dalam PN
Pada 10 September 2023, Muda keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga sebagai protes terhadap keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan Presiden Umno, Zahid Hamidi, daripada 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi.
Jumaat, dilaporkan Hamzah yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Yunus Nurdin dipetik berkata Hamzah dijangka mengambil alih sebuah parti kecil bagi memperluaskan pengaruh menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Menurut Ahmad Zaharuddin, Hamzah yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan PAS tetapi berdepan konflik dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mungkin berdepan kesukaran untuk bergerak dalam Perikatan Nasional.
“Hamzah juga mungkin boleh menubuhkan blok baharu, namun langkah itu berisiko kerana sokongan akar umbi belum tentu kukuh.
“Secara realistik, opsyen paling selamat ialah kekal bersama PN dan mesra PAS sambil membina imej sebagai tokoh pembangkang bebas.
“Namun tanpa platform rasmi, pengaruh beliau boleh terhakis dalam jangka panjang,” katanya sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai ujian dalam usaha membentuk pakatan pembangkang yang kuat.
Tekanan terhadap kepimpinan Bersatu
Seorang lagi penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berpendapat kemampuan Hamzah menarik lebih ramai wakil rakyat berkemungkinan membolehkan parti yang dikuasainya menggantikan Bersatu dalam PN.
“Kita dapat lihat tekanan berterusan terhadap Muhyiddin dengan pemimpin meletak jawatan dan mengisytiharkan bahagian dibubarkan.
“Semua ini bertujuan menekan dan mengecilkan pengaruh Muhyiddin,” katanya.
Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpandangan Hamzah berkemungkinan mengekalkan hubungan dengan PAS bagi mendapatkan sokongan parti itu menjelang PRU16 walaupun berada di luar Bersatu.
“Kalau bergerak solo mungkin sukar untuk beliau atau sesiapa pun. Apakah beliau mahu kembali ke Umno? Saya melihat Hamzah cuba menguji sokongan sebagai pemimpin politik.
“Jika dalam PN wujud percanggahan sekiranya PAS kekal bekerjasama dengan Bersatu, inilah punca krisis sebelum ini,” katanya.