
Naib Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad, menyindir tindakan sebahagian penyokong PKR yang aktif membuat laporan polis membantah penganjuran himpunan, sedangkan parti itu sendiri lahir daripada gerakan demonstrasi jalanan pada era Reformasi.
“Lawaknya bila penyokong PKR hari ini sibuk buat laporan polis bantah orang nak buat himpunan. Tiba-tiba jadi pencinta keamanan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau menyindir: “Zaman Reformasi dulu, kamu umur berapa? Dah pandai berlari atau baru pandai sebut ‘Anwar’?”
Idris menegaskan, PKR lahir daripada perjuangan di jalan raya ketika gas pemedih mata dianggap sebagai “minyak wangi perjuangan”. Mereka yang benar-benar melalui zaman Reformasi tahu bahawa itu bukan masa untuk duduk di kerusi empuk membuat laporan polis.
“Pelik, yang buat laporan ni tahu tak sejarah parti sendiri? Atau mereka ni generasi ‘copy-paste’, belajar demo dari TikTok, bukan dari tapak jalan?” katanya.
Idris turut menyebut nama sahabat lamanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Perdana Menteri, yakin beliau tahu siapa yang benar-benar turun ke jalan dan siapa hanya pandai komen dari jauh.
“Sam, tolong cakap elok-elok dengan budak-budak belum matang ni. Jangan bagi mereka buat malu geng lama. Kalau nak jadi anak jantan politik, jangan takut tengok orang berhimpun. Nak mengampu pun, tengok-tengoklah kiri kanan dulu,” ujarnya.