
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan melalui Facebook hari ini bahawa sebanyak 156 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara kini dilengkapi dengan sistem pengurusan klinik berasaskan awan (CCMS), membolehkan 70% pesakit dilayan dalam tempoh kurang 30 minit. Pencapaian ini adalah sebahagian daripada reformasi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang sedang giat dilaksanakan.
Beliau berkata, fasa pertama sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) telah siap, melibatkan 5 juta preskripsi, 20 juta rekod vaksinasi dan 1 juta rekod pergigian.
Dzulkefly menambah bahawa aplikasi MySejahtera kini berkembang menjadi gerbang kesihatan pencegahan dan portal kesihatan digital negara.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan dan Google sedang meneroka kerjasama strategik untuk menggunakan AI dalam menangani cabaran kesihatan utama negara. Ini adalah langkah besar untuk menjadikan Malaysia peneraju kesihatan digital berasaskan AI di rantau ini,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu kerjasama serantau dalam tadbir urus data kesihatan, penggunaan AI secara beretika dan pembangunan kapasiti digital rentas sempadan.
Dzulkefly berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Jitu Asia 2025 yang menghimpunkan lebih 500 delegasi serantau, lapan pempamer teknologi dan pemimpin kesihatan untuk berkongsi aspirasi membina sistem kesihatan berasaskan data, peribadi dan berpusatkan rakyat.
“Kesihatan Awam Jitu bukan lagi konsep masa depan. Ia sedang kita laksanakan di Malaysia dan bakal menjadi tunjang sistem kesihatan yang lebih mampan, saksama dan berdaya saing,” ujarnya.