
Industri aeroangkasa Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan antara 20% hingga 25% tahun ini berbanding RM25.1 bilion pada 2024, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia telah meraih pelaburan diluluskan sebanyak RM1.5 bilion dan nilai eksport RM8.17 bilion, menunjukkan keyakinan global terhadap keupayaan dan bakat sektor ini.
“Kita mempunyai 30,000 tenaga kerja aeroangkasa yang unggul dalam keseluruhan rantaian nilai – dari pembuatan struktur pesawat, komponen enjin, avionik, MRO hingga integrasi sistem,” katanya di Majlis Makan Malam Presiden MAIA 2025.
Tengku Zafrul menyatakan kejayaan ini hasil model kerjasama tiga serangkai – kerajaan, akademia dan industri.
Semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar ke Perancis, Malaysia Airlines telah menggandakan tempahan Airbus A330neo kepada 40 buah, manakala AirAsia menandatangani perjanjian untuk membeli 50 pesawat A321XLR, dengan pilihan tambahan sebanyak 20 buah lagi.
“Ini bukan sahaja menunjukkan keyakinan kepada Airbus, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi MRO, pembekalan alat ganti dan pembangunan bakat aeroangkasa.”
Beliau berkata industri aeroangkasa global sedang mengalami transformasi dipacu oleh kehendak terhadap penyelesaian hijau, sistem digital dan rantaian bekalan berdaya tahan.
“Malaysia perlu terus menyesuaikan diri, menerajui inovasi dan menjadi rakan strategik dalam pembangunan teknologi masa depan.”
Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP 2030) akan menjadi pemacu utama daya saing industri ini.