
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada hari Khamis mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif sebanyak 35% ke atas import dari Kanada bermula 1 Ogos. Pengumuman itu dibuat melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, yang turut dikongsi Trump di platform media sosialnya. Beliau turut memberi amaran bahawa kadar tarif tersebut boleh ditingkatkan sekiranya Kanada bertindak balas.
Selain menyasarkan Kanada, Trump turut mendedahkan rancangan lebih meluas untuk mengenakan tarif menyeluruh antara 15% hingga 20% ke atas kebanyakan rakan dagang lain. Dalam satu temu bual bersama NBC News, beliau menegaskan bahawa tidak semua negara perlu menerima surat rasmi.
“Tidak semua negara perlu surat. Kami hanya menetapkan tarif,” kata Trump. “Semua negara yang belum menerima surat akan tetap dikenakan tarif, sama ada 20% atau 15%. Perincian akan kami tetapkan selepas ini.”
Pengumuman ini menandakan peningkatan dalam perang dagangan yang diterajui Trump, yang sebelum ini telah menyasarkan sekutu rapat seperti Jepun dan Korea Selatan serta mengenakan tarif 50% ke atas tembaga.