
Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar prosiding inkues dijalankan susulan kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut kenyataan, selepas Jabatan itu meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes pada 12 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan inkues perlu dilaksanakan selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina. Proses ini akan dikendalikan oleh Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu. Terdahulu, beliau dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar tersebut. Jabatan Peguam Negara berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM bagi memastikan penyiasatan dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.
Kematian Zara Qairina mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli yang melibatkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Pelbagai pihak mendesak inkues
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini mendesak pihak berkuasa mengadakan inkues berhubung kematian Zara Qairina. Kelmarin, Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata prosiding inkues diadakan bukan untuk menentukan kesalahan atau menyabitkan jenayah terhadap mana-mana individu.
Sebaliknya, menurut beliau, hasil inkues boleh digunakan oleh polis atau pihak pendakwa untuk tindakan selanjutnya kerana prosedur itu akan menentukan bagaimana kematian berlaku — sama ada secara semula jadi, kemalangan, bunuh diri, pembunuhan atau tidak dapat dipastikan.
“Kita juga boleh mengenal pasti masa dan tempat kematian, sekali gus membantu dalam rekod rasmi dan proses undang-undang. Malah, prosiding inkues ini boleh membantu langkah pencegahan pada masa hadapan; contohnya, jika kematian berpunca daripada kelemahan keselamatan, inkues boleh mencadangkan langkah pembetulan. Hasilnya juga memberi gambaran jelas kepada keluarga dan masyarakat agar tidak timbul spekulasi atau tuduhan tidak berasas,” katanya.