Ismail Lasim perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun untuk terus memegang jawatan menteri besar, menurut Istana Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan, Pengelola Bijaya Diraja berkata Adun Juasseh itu juga hendaklah mengemukakan senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan DUN dan pembentangan belanjawan negeri akan ditetapkan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Ismail menghadap Tuanku Muhriz
Istana turut memaklumkan bahawa Ismail menghadap Tuanku Muhriz pagi tadi, dengan dihadiri Undang.
Menurut kenyataan itu, Ismail menyembah maklum kepada Tuanku Muhriz bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 Nov lalu dan tidak bersetuju surat itu dihantar kepada istana.
“Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai menteri besar.
“Persoalan itu tidak timbul kerana beliau menegaskan tidak meletakkan jawatan. Pihak istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan, dan Ismail perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun,” katanya.
Kronologi surat peletakan jawatan
Pada 16 Nov, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir, mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai menteri besar selepas BN menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh sama yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 Nov memaklumkan surat itu hanya diterima pada 12.16 tengah malam daripada seorang individu yang mendakwa mewakili sebuah firma guaman. Ketulenan surat itu juga masih belum disahkan.
Istana turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Titah kesinambungan pentadbiran
Hari ini, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai menteri besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail mengesahkan perkara itu selepas menghadap Tuanku Muhriz pagi tadi. Beliau berkata akan terus memberikan komitmen untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
Beliau turut menafikan mengemukakan surat peletakan jawatan itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.