Walaupun namanya disebut-sebut sebagai calon yang berkemungkinan mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Umno negeri, Jalaluddin Alias, tidak kecewa dengan keputusan mengekalkan Ismail Lasim pada jawatan itu.
Jalaluddin berkata pelantikan Menteri Besar sememangnya hak prerogatif Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaras dengan perlembagaan negeri.
“Saya okay dan saya tidak mempunyai sebarang rasa kekecewaan dan sebagainya,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Hormati keputusan Yang Dipertuan Besar
Adun Pertang itu menambah bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan Tuanku Muhriz dan memperkukuh kesetiaan kepada institusi diraja, bagi mengelakkan kemelut politik yang melanda negeri itu daripada berulang.
Kemelut politik terbaharu di Negeri Sembilan tercetus selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar pada minggu lalu.
Perkara itu menyusuli kemelut selama beberapa bulan berhubung usaha untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri, yang disokong oleh Ismail dan bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negerinya.
Semua 10 anggota exco Ismail kemudiannya dipecat oleh Tuanku Muhriz atas tindakan mereka.
Ismail kekal Menteri Besar
Bagaimanapun, Ismail menafikan bahawa beliau telah mengemukakan peletakan jawatannya kepada istana. Ekoran itu, Tuanku Muhriz memanggil Menteri Besar tersebut bersama pemimpin tertinggi BN menghadap baginda pada 26 November.
Semalam, enam anggota Exco negeri yang baharu mengangkat sumpah jawatan, terdiri daripada empat ADUN BN dan dua daripada Perikatan Nasional (PN).
Perkembangan itu sekali gus mengesahkan bahawa Ismail akan kekal sebagai Menteri Besar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.