
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa tiada pihak seharusnya mengambil kesempatan mempolitikkan isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku di sebuah sekolah di Port Dickson baru-baru ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan sama ada kesilapan itu dilakukan secara sengaja ataupun sebaliknya.
“Setiap kali timbul isu seperti ini (kesilapan pemasangan Jalur Gemilang), pasti ada pihak yang cuba mempolitikkannya.
Namun, saya berpandangan ia berkemungkinan merupakan satu kesilapan, dan perkara ini wajar diserahkan kepada KPM untuk disiasat bagi mengenal pasti sama ada ia disengajakan atau tidak.
Maka, tidak perlu mana-mana pihak mengeksploitasi isu ini untuk meraih keuntungan politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chan Wa, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Seremban itu turut menegaskan bahawa semua pihak perlu lebih berhati-hati dan peka ketika mengibarkan Jalur Gemilang bagi mengelakkan insiden seumpamanya berulang.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kesilapan tersebut mungkin berlaku tanpa disengajakan.
“Kita sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa Jalur Gemilang perlu dikibarkan dengan cara yang betul serta penuh hormat kerana sensitiviti terhadap bendera negara amat penting.
Namun, kesilapan tidak disengajakan boleh berlaku, dan kita serahkan kepada KPM untuk melengkapkan siasatan,” jelasnya.
Anthony Loke turut menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang identiti negara yang perlu dipelihara dengan penuh rasa bangga dan hormat oleh setiap rakyat Malaysia.