
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 1,489 saman bernilai RM445,800 menerusi operasi penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan Malaysia-Singapura sejak 1 Julai hingga awal Ogos.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata sebanyak 14,379 kenderaan berdaftar Singapura telah diperiksa di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan sekitar bandar raya Johor Bahru.
“Sebahagian besar disaman kerana gagal memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP. Ada yang mendakwa tidak tahu penguatkuasaan sudah bermula kerana menyangka masih dalam fasa advokasi,” katanya.
Menurut beliau, hanya seorang individu yang enggan bekerjasama pada awalnya, namun akhirnya akur apabila dimaklumkan kenderaan akan disita.
Setakat 31 Julai, sebanyak 277,930 tag RFID VEP telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura, termasuk individu dan syarikat. Hampir 90% kenderaan persendirian Singapura telah melengkapkan pemasangan dan pengaktifan tag RFID mereka.
JPJ menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan. Mengikut Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kesalahan ini boleh dikenakan denda RM300.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.