
Sebuah premis makanan di sini menjadi perhatian ramai selepas tular gambar di media sosial yang memaparkan seekor haiwan dipercayai katak ditemui terapung dalam segelas minuman asam boi yang dihidangkan kepada pelanggan.
Gambar berkenaan, yang dimuat naik oleh mangsa di akaun media sosialnya, menunjukkan seekor haiwan kecil berwarna gelap berada di dalam minuman yang kelihatan telah diminum sebahagiannya.
Menurut pemilik akaun tersebut, beliau hanya menyedari kehadiran haiwan itu selepas meminum kira-kira satu perempat daripada kandungan air dalam gelas tersebut.
“Ya, saya dah minum suku air tu. Lepas tu saya nak minum balik, saya gaul… tiba-tiba nampak macam benda lain dekat bahagian bawah. Jadi saya gaul lagi, terus ia timbul ke atas. Ya Allah, terus saya menggigil,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Perkongsian itu meraih lebih 2,300 komen dan dikongsikan melebihi 38,000 kali, dengan ramai pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut dan tidak berpuas hati terhadap tahap kebersihan premis tersebut.
Seorang pengguna bernama @Fakhrul menggesa agar insiden itu segera dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Lebih baik laporkan kepada KKM supaya mereka boleh periksa dapur premis tu… pelik macam mana katak boleh masuk dalam gelas minuman. Mesti ada masalah kebersihan di kawasan dapur,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna turut mempersoalkan bagaimana minuman itu boleh dihidangkan tanpa menyedari kehadiran haiwan tersebut.
“Yang peliknya, macam mana mereka tak nampak katak tu sebelum hidangkan kepada pelanggan?” soal pengguna bernama @ehnor dalam ruangan komen.