Mohamad Sabu mengumumkan akan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkuat kuasa serta-merta sehingga Parlimen penggal ini dibubarkan.
Presiden Amanah itu berkata, langkah tersebut bertujuan membantu membiayai usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menegakkan keadilan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Gaji bulanan menterinya berjumlah RM11,900 itu akan disalurkan sepenuhnya kepada NGO yang terlibat dalam usaha berkenaan.
Seruan kepada NGO dan masyarakat sivil
Mohamad menyeru badan bukan kerajaan, terutamanya Bersih, Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Syarie, serta seluruh masyarakat sivil agar terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik, mahupun latar belakang seseorang,” katanya pada sidang media sempena program himpunan semarak tani bersama nelayan negeri Melaka di Taman Panglima Pak, Merlimau.
Tiada pertikaian peribadi dengan Najib
Ditanya sama ada langkah itu merupakan tanda protes, Mohamad menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pertikaian peribadi dengan Najib mahupun keluarganya.
Katanya, beliau hanya mahu prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan, tanpa layanan istimewa kepada mana-mana individu berdasarkan kedudukan atau pengaruh.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Najib Razak mahupun anggota keluarganya.
“Saya tidak mencabar sesiapa, saya hanya mengesyorkan supaya ada satu undang-undang nanti, kalau seseorang itu, tak kira apa kesalahan dia, kalau enam tahun (hukuman), tiga tahun dalam penjara, tiga tahun di rumah,” katanya.
Cadangan separuh penjara, separuh di rumah
Mohamad turut mencadangkan kerajaan memberi peluang kepada semua banduan untuk menjalani separuh tempoh hukuman di penjara, manakala separuh lagi menerusi tahanan di rumah.
Menurutnya, cadangan itu melibatkan semua jenis kesalahan dan bukan tertumpu kepada individu atau kes tertentu.
Beliau berkata, akan berbincang dengan setiausahanya bagi menentukan NGO yang bakal menerima sumbangan itu untuk menggerakkan kempen, termasuk menganjurkan forum, seminar dan perhimpunan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.