Ahli keluarga Najib Razak didakwa tidak dibenarkan tinggal bersama bekas Perdana Menteri itu sepanjang beliau menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid, berkata isteri Najib, Rosmah Mansor, sebaliknya dipercayai akan menetap di kediamannya di Pavilion sepanjang tempoh berkenaan.
Rumah diwartakan sebagai penjara
Menurut Nurulhidayah, kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, yang diwartakan sebagai penjara, tertakluk kepada peraturan seperti institusi penjara.
“Tidak boleh dan rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara anak bini tidak ada dalam itu.
“Anak bini dia bukan tinggal sekali. Rosmah duduk Pavilion,” katanya menerusi ruangan komen pada hantaran pengguna Threads, @wakdoyik.co, pada Rabu.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas pengguna media sosial berkenaan bertanyakan sama ada ahli keluarga, termasuk cucu, dibenarkan melawat Najib sekiranya beliau menjalani tahanan rumah.
Lawatan dan makanan ikut peraturan penjara
Pengguna itu turut mengajukan persoalan sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut boleh mendapatkan makanan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan, sekiranya tidak dibenarkan keluar dari kediaman.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata ahli keluarga yang ingin melawat perlu mematuhi waktu lawatan yang ditetapkan pihak berkuasa, seperti prosedur di penjara.
“Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” katanya.
Perintah Mahkamah Tinggi
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta.
Perintah itu berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.