
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bahawa beliau tidak menyokong blok Borneo seperti yang dilontarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, baru-baru ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyifatkan kenyataan Hajiji sebagai tidak berasas dan sekadar pembohongan semata-mata.
“Baru-baru ini ada kenyataan yang dikeluarkan. Mengapa dia (Hajiji) mengkhianati kita, kononnya saya tidak menyokong blok Borneo?
“Sejak bila saya kata saya tidak sokong blok Borneo? Saya sendiri pun tidak pasti siapa blok itu, kerana sejak awal lagi saya sudah berada di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Rakyat PN di sini malam Jumaat.
Muhyiddin menegaskan, kehadirannya secara konsisten di Sabah sejak dahulu membuktikan komitmennya terhadap pembangunan dan kepentingan negeri tersebut.
“Kalau saya mahu ceritakan sedikit sejarah, ketika UMNO masuk ke Sabah, saya berada di sini sejak waktu itu hingga hari ini kerana saya yakin Sabah mempunyai keistimewaan dan kekayaan sumber alam yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan negeri ini agar menjadi maju dan berjaya.
“Sejak bila pula saya kata tidak menyokong Sabah atau blok Borneo? Itu satu pembohongan,” tegasnya.
Beliau berkata, episod “pembohongan” itu seharusnya menjadi isyarat kepada rakyat Sabah bahawa sudah tiba masanya untuk membina semula kekuatan politik dan mengembalikan maruah negeri yang menurutnya telah “terkorban” akibat pengkhianatan.
“Ini masa yang sesuai untuk kita mengembalikan aspirasi dan hasrat rakyat Sabah yang telah terkesan akibat pengkhianatan tersebut.
“Pilihan raya yang dikatakan bakal tiba tidak lama lagi memberi ruang kepada kita untuk terus menjelajah ke pelbagai kawasan, membawa mesej dan penerangan seperti ini,” katanya.
Menurut Muhyiddin, misi PN bukan sekadar memimpin semula Sabah tetapi juga menawan kembali Kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH).
“Sudah tiba masa untuk kita mengembalikan maruah kita. Kita perlu bina semula kekuatan supaya Sabah kembali di bawah pimpinan kerajaan PN.
“Bukan hanya Sabah, malah kita juga akan mengambil semula pentadbiran Kerajaan Pusat apabila Anwar berundur,” katanya.
Sebelum ini, dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Ahad lalu, Hajiji mendakwa terdapat pemimpin kerajaan terdahulu yang tidak menyokong blok Borneo.
Beliau berkata, perkara itu menjadi antara faktor yang mendorongnya menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Hajiji tidak menamakan individu tersebut, sebaliknya hanya merujuk secara umum kepada seorang pemimpin kanan dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.