
Kadar tarif eksport sebanyak 19 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap komoditi Malaysia, termasuk kelapa sawit, masih dianggap kompetitif dan tidak membebankan berbanding negara-negara ASEAN lain.
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata Malaysia kekal berada dalam kedudukan yang baik dari segi daya saing memandangkan kadar tersebut adalah antara yang terendah di rantau ini.
“Paling penting, tarif 19 peratus yang dikenakan AS ke atas Malaysia adalah antara yang paling rendah dalam ASEAN.
“Walaupun Indonesia merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar dunia, negara itu turut dikenakan kadar tarif yang sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar pada Sabtu.
Menurut Johari, Malaysia kini merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia, sekali gus meletakkan negara ini dalam kedudukan persaingan yang seimbang.
“Kalau kita lihat dalam konteks komoditi kelapa sawit, Indonesia pengeluar nombor satu dunia, kita pula nombor dua.
“Namun Indonesia juga dikenakan tarif 19 peratus seperti Malaysia. Jadi tiada masalah — ini bermaksud persaingan adalah ‘adil’,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, Malaysia dikenakan tarif eksport 19 peratus oleh AS berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presidennya, Donald Trump.
Dokumen penyesuaian kadar tarif timbal balas itu bertarikh 31 Julai 2025 dan telah dimuat naik di laman rasmi Rumah Putih.
Sebelum ini, Trump menetapkan tarif 25 peratus terhadap Malaysia, namun difahamkan perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin menjadi antara faktor pengurangan kadar tersebut.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan tiada isu besar timbul terhadap eksport komoditi negara susulan kadar baharu itu.
“Malaysia masih mampu bersaing secara adil di pasaran antarabangsa.
“Saya tidak nampak sebarang masalah setakat ini berhubung penetapan tarif 19 peratus oleh AS terhadap eksport komoditi kita,” katanya.