
Kementerian Perpaduan Negara sedang menganjurkan “Pameran Opera Cina: Satu Pengenalan, Satu Peringatan” bermula 8 Julai hingga 8 September ini di Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur.
Menterinya, Aaron Ago Dagang, berkata pameran ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk menghayati keindahan dan keunikan seni persembahan tradisional opera Cina — sebuah bentuk seni klasik yang sarat dengan nilai estetika, sejarah, simbolisme serta warisan turun-temurun masyarakat Tionghua.
Beliau menjelaskan bahawa pameran tersebut turut menjadi wadah pendidikan budaya dengan memperkenalkan khalayak kepada kehalusan kostum, muzik, solekan, skrip serta peranan watak dalam opera Cina, yang lazimnya memaparkan tema moral, percintaan, perjuangan dan peristiwa sejarah.
“Melalui pameran ini, Kementerian Perpaduan Negara berhasrat menonjolkan kepentingan pemeliharaan serta penghargaan terhadap seni budaya pelbagai kaum di Malaysia.
Usaha ini seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai hormat-menghormati, pemahaman antara kaum serta penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai asas kekuatan negara,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut beliau, pameran ini bukan sekadar pengenalan kepada seni budaya satu kaum, tetapi juga menjadi peringatan bahawa warisan budaya adalah khazanah bersama yang wajar dihormati dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat.
“Dengan pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya masing-masing, kita dapat membina hubungan yang lebih erat serta memperkukuh perpaduan antara komuniti berbilang bangsa dan agama di negara ini,” tambahnya.