Syahredzan Johan mempersoalkan sama ada Umno cuba memperdayakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berhubung dakwaan peletakan jawatan Menteri Besar, Ismail Lasim.
Naib pengerusi DAP itu berkata, kenyataan Ismail bahawa beliau tidak pernah menyerahkan atau bersetuju surat peletakan jawatan dihantar bermakna Adun Juasseh itu tidak pernah meletak jawatan.
“Empunya badan tidak pernah hantar surat, tidak pernah bersetuju surat dihantar tetapi dijaja konon sudah melepaskan jawatan,” katanya dalam hantaran di Threads.
Umno diminta beri jawapan
Ahli Parlimen Bangi itu berkata, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan surat peletakan jawatan berkenaan dihantar ke Istana Hinggap di Seremban. Beberapa pemimpin Umno pula memberi gambaran bahawa Ismail sudah melepaskan jawatan.
“Semua tindakan ini adalah berasaskan suatu perkara yang terbukti tidak benar. Ismail tidak pernah letak jawatan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Umno mengemukakan nama calon menteri besar baharu kepada Tuanku Muhriz ketika status peletakan jawatan Ismail masih menjadi pertikaian.
“Adakah Umno cuba untuk memperdayakan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat dalam hal ini?” soalnya.
Syahredzan turut mengaitkan perkembangan itu dengan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan sebelum ini, sambil mempersoalkan sama ada Umno sekali lagi cuba memperdayakan Tuanku Muhriz.
“Umno perlu jawab!” katanya.
Kronologi surat peletakan jawatan
Pada 16 Nov, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir, mengumumkan Ismail meletak jawatan sebagai menteri besar selepas BN menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh sama yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 Nov memaklumkan surat itu hanya diterima pada 12.16 tengah malam daripada seorang individu yang mendakwa mewakili sebuah firma guaman. Ketulenan surat itu juga masih belum disahkan.
Istana turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Tuanku Muhriz titah Ismail teruskan khidmat
Hari ini, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai menteri besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail mengesahkan perkara itu selepas menghadap Tuanku Muhriz pagi tadi. Beliau berkata, beliau akan memberikan komitmen untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
Beliau turut menafikan mengemukakan surat peletakan jawatan itu.
“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan menteri besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi menteri besar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.