
Cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur kembali mencetuskan perbahasan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Wilayah Persekutuan memaklumkan kajian sedang dijalankan bagi meneliti pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di ibu kota.
Pada asasnya, idea pemilihan Datuk Bandar secara langsung menimbulkan persoalan sama ada Kuala Lumpur memerlukan mandat rakyat untuk memimpin bandar raya atau sistem pelantikan sedia ada sudah memadai bagi menjamin kecekapan serta kestabilan pentadbiran.
Bagi penyokong cadangan ini, pemilihan Datuk Bandar melalui pilihan raya dilihat mampu memperkukuh prinsip akauntabiliti dalam pengurusan bandar.
Dengan mandat rakyat, Datuk Bandar dijangka lebih bertanggungjawab terhadap prestasi perkhidmatan bandar termasuk kebersihan, pengurusan trafik, perumahan dan penyediaan kemudahan awam.
Akauntabiliti dan hala tuju pentadbiran bandar
Dari sudut tadbir urus, langkah itu juga dianggap berpotensi memperkemas struktur pentadbiran Kuala Lumpur yang ketika ini melibatkan pelbagai lapisan kuasa.
Pemilihan Datuk Bandar yang mempunyai legitimasi politik dikatakan dapat memperjelas hala tuju kepimpinan bandar serta mengurangkan kekaburan peranan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, wakil rakyat dan agensi Persekutuan.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Haryati Shafii, berkata pemilihan Datuk Bandar memberi kelebihan kepada rakyat di semua peringkat apabila suara mereka lebih mudah didengari.
Menurutnya, keadaan itu membolehkan penduduk memilih pemimpin yang benar-benar memahami keperluan masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pentadbiran bandar.
Beliau berkata, pemimpin yang dipilih melalui mandat rakyat dijangka membawa aspirasi masyarakat, lebih bertanggungjawab terhadap janji yang dibuat serta menjaga kepentingan penduduk setempat.
Ruang penyertaan dan idea baharu
Haryati berkata, pelaksanaan pilihan raya yang bersistematik turut membuka ruang lebih luas kepada pelbagai pihak untuk terlibat menyuarakan pandangan, termasuk badan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Menurutnya, proses tersebut boleh mengetengahkan idea yang lebih segar dan realistik dengan mengambil kira keperluan semasa selari dengan acuan serta pelan pembangunan negara yang lestari.
Beliau berkata, pertukaran kepimpinan secara berkala berpotensi membawa perspektif baharu yang lebih kreatif dan sesuai dengan isu serta cabaran semasa bandar raya.
Kebimbangan politisasi dan ketidakstabilan dasar
Dalam masa sama, cadangan ini turut menerima kritikan apabila wujud kebimbangan jawatan Datuk Bandar yang secara tradisinya disandang penjawat awam akan berubah menjadi jawatan politik.
Pengkritik berpandangan pilihan raya berisiko membuka ruang kepada pengaruh politik kepartian, sekali gus menjejaskan prinsip neutraliti dan profesionalisme dalam pentadbiran bandar.
Haryati berkata, pemilihan secara pilihan raya juga boleh mencetuskan ketidakstabilan dasar kerana pertukaran pemimpin dikhuatiri menyebabkan projek atau perancangan terbengkalai, seterusnya menjejaskan kesinambungan pembangunan bandar.
Selain itu, popularisme jangka pendek mungkin berlaku apabila calon menumpukan janji segera bagi meraih undi berbanding perancangan jangka panjang yang lebih penting.
Pilihan raya Datuk Bandar bukan perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan di beberapa bandar utama dunia seperti London, New York dan Seoul.
Di London, Datuk Bandar dipilih secara langsung oleh rakyat dan bertanggungjawab terhadap pengangkutan awam, perumahan serta perancangan strategik bandar.
Datuk Bandar New York pula diundi oleh penduduk dan memegang kuasa besar dalam pentadbiran bandar, manakala Datuk Bandar Seoul dipilih secara langsung dengan penekanan kepada perancangan bandar jangka panjang.
Namun, pemilihan Datuk Bandar juga boleh membawa kesan negatif jika tidak dilaksanakan secara teratur, seperti yang pernah dibimbangkan dalam pemilihan Gabenor Jakarta yang mengangkat individu berdasarkan populariti dengan kuasa eksekutif luas.
Jawatan Gabenor Jakarta sering menjadi batu loncatan kepada politik kebangsaan, menyebabkan dasar bandar ada kalanya dipengaruhi pertimbangan politik yang lebih besar berbanding keperluan teknikal perancangan bandar.
Secara keseluruhan, cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar mencerminkan pertembungan antara hasrat memperkukuh demokrasi bandar dan kebimbangan terhadap kestabilan serta keberkesanan pentadbiran.
Cadangan ini dilihat memerlukan kerangka undang-undang yang jelas, peranan dan kuasa yang terperinci serta mekanisme kawalan bagi mengelakkan salah guna kuasa dan amalan politik populis.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.