
Malaysia masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung laporan yang mendakwa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kini dipercayai menetap di Shanghai, China.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menyemak perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya belum menerima sebarang maklumat rasmi. Saya sudah baca laporan media tersebut, namun perlu mendapatkan pengesahan daripada menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar.
Anwar mengulas laporan beberapa media antarabangsa yang memetik dakwaan bahawa Jho Low, yang sedang diburu pihak berkuasa global, dipercayai tinggal di kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Pendedahan itu dibuat oleh dua wartawan penyiasatan terkemuka, Bradley Hope dan Tom Wright, dalam satu episod khas bertajuk Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright yang disiarkan pada Jumaat lalu. Kedua-dua mereka sebelum ini turut dikenali sebagai individu yang membongkar skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Skandal 1MDB yang menggemparkan dunia itu melibatkan penyelewengan dana berjumlah AS$7.65 bilion (kira-kira RM35 bilion), menjadikannya antara skandal kewangan terbesar dalam sejarah moden.