Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, diminta mendedahkan nama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa menubuhkan puluhan anak syarikat bagi membolehkan pengurusan tertinggi menikmati elaun tambahan sehingga RM70,000 sebulan.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, berkata dakwaan seorang pengurus GLC menubuhkan 70 anak syarikat kecil untuk memperoleh elaun tambahan perlu disusuli langkah yang lebih telus.
Menurut beliau, kewujudan anak syarikat tanpa kegiatan perniagaan sebenar yang mengalami kerugian dan menanggung hutang tinggi boleh menjejaskan kedudukan kewangan GLC.
“Elok juga PMX mendedahkan nama GLC terlibat. Biar lebih telus. Ini melibatkan tadbir urus,” katanya di Facebook.
“Ia punca GLC kerugian kerana kewujudan banyak anak syarikat tiada bisnes, rugi dan menanggung hutang tinggi.”
Anwar dedah dakwaan elaun RM70,000
Semalam, Anwar mendedahkan seorang pengurus GLC didakwa menubuhkan 70 anak syarikat kecil untuk memperoleh elaun kira-kira RM1,000 daripada setiap syarikat, menjadikan jumlah keseluruhan RM70,000 sebulan.
Menteri kewangan itu dilaporkan berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dan menghentikan amalan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun GLC dan lembaga pengarahnya tertakluk kepada kawalan kewangan serta audit, anak syarikatnya beroperasi secara bebas.
Tegasnya, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap amalan yang bercanggah dengan amanah dan prinsip tadbir urus.
Puad cadang akta khusus
Mengulas lanjut, Puad mencadangkan kerajaan menggubal akta khusus bagi melarang pengerusi GLC memegang jawatan pengerusi dalam anak syarikat di bawah entiti yang sama.
Katanya, amalan menubuhkan banyak anak syarikat baharu semata-mata untuk menyediakan jawatan pengerusi dan membolehkan individu terlibat memperoleh elaun tambahan perlu dihentikan.
Beliau turut mendakwa kaedah itu digunakan bagi membuka ruang pelantikan kroni politik sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.