DAP berdiri teguh mempertahankan tiga pemimpinnya yang dipanggil memberi keterangan oleh pihak berkuasa dalam tempoh dua hari, termasuk bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Yap Yee Vonne, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, menjalankan tanggungjawab awam masing-masing, sama ada ketika melaksanakan tugas rasmi atau menyuarakan perkara berkepentingan rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, Loke berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berdiri teguh bersama ketiga-tiga pemimpin itu dan yakin mereka bertindak mengikut undang-undang.
“Mereka menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat, sama ada dalam melaksanakan tugas rasmi atau menyuarakan pandangan mengenai perkara berkepentingan awam.
“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan yakin rakan-rakan kami bertindak mengikut undang-undang,” katanya.
Tiga pemimpin dipanggil beri keterangan
Yee Vonne, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 November untuk memberi keterangan berhubung lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Tony pula hadir di Bukit Aman hari ini berhubung hantaran Facebook mengenai minit Lembaga Pengampunan berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Dalam kes berasingan, Poay Tiong turut dipanggil memberi keterangan berhubung hantaran Facebook yang mempersoalkan arahan supaya premis perniagaan di Kuala Terengganu ditutup ketika solat Jumaat.
Minta standard sama
Loke berkata, penyertaan DAP dalam kerajaan tidak bermakna parti itu kebal daripada siasatan, namun pihak berkuasa perlu memastikan standard yang sama turut digunakan terhadap pemimpin politik dan parti lain.
“Penyertaan DAP dalam kerajaan tidak memberikan kami sebarang kekebalan daripada siasatan. Bagaimanapun, kami mengharapkan pihak berkuasa menerapkan standard yang sama dan bertindak dengan tahap kesegeraan yang sama ketika mengendalikan kes yang membabitkan pemimpin politik lain atau pihak daripada parti lain,” katanya.
Beliau menegaskan DAP kekal komited terhadap tadbir urus baik, keadilan dan usaha membina Malaysia yang adil.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.