Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengingatkan barisan exco negeri yang baharu dilantik supaya tidak melampaui bidang kuasa masing-masing, susulan kemelut yang melanda negeri itu.
Baginda bertitah, segala peristiwa dan isu yang tercetus baru-baru ini harus dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak, khususnya anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.
“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” titah baginda pada istiadat pelantikan dan angkat sumpah exco di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
Amanah besar kepada negeri dan rakyat
Tuanku Muhriz turut mengingatkan barisan exco bahawa pelantikan mereka bukan sahaja satu penghormatan, malah membawa tanggungjawab dan amanah besar kepada negeri serta rakyat.
Baginda mahu mereka mengutamakan kepentingan rakyat, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta memastikan setiap keputusan berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Lebih dua bulan tanpa exco
Istiadat hari ini menyusul selepas Negeri Sembilan lebih dua bulan tanpa barisan exco, susulan keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggotanya pada 20 Sept lalu kerana melanggar ikrar taat setia kepada baginda.
Keputusan itu dibuat selepas barisan exco terbabit mengeluarkan kenyataan mengesahkan dakwaan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, yang kemudian disokong Menteri Besar, Ismail Lasim.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara menegaskan pengumuman itu tidak mempunyai kesan undang-undang kerana menteri besar dan exco tidak mempunyai kuasa menyingkirkan Yang Dipertuan Besar.
Perkembangan terkini
Ismail pada 14 Nov mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz. Empat hari kemudian, 10 bekas exco terbabit menarik balik saman yang mencabar pembatalan pelantikan mereka.
Pada 20 Nov, pihak istana memaklumkan Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun serta mengemukakan senarai exco untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.