Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pengesahan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung implikasi perundangan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 esok.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata aspek berkenaan masih dalam penelitian AGC bagi memastikan sebarang tindakan atau keputusan mematuhi peraturan pilihan raya sedia ada.
Beliau berkata, berdasarkan peraturan semasa, semua proses pilihan raya yang ditetapkan perlu diteruskan, manakala sebarang pengumuman berhubung isu itu hanya akan dibuat selepas SPR memperoleh pengesahan pihak berkaitan.
“Saya sudah minta perkara ini disemak dengan pihak AGC dan perkara ini masih lagi dalam semakan. Ada peraturan-peraturan berkaitan yang perlu kita patuhi.
“Kalau berdasarkan peraturan sedia ada, kita kena lihat semua proses pilihan raya ini terpaksa juga dijalankan, mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya.
Ramlan berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang, Dewan Serbaguna Taman Sukma di sini, hari ini.
Berhubung kemungkinan hanya seorang calon mengemukakan pencalonan bagi sesuatu kerusi, beliau berkata calon tersebut akan diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Persiapan hari penamaan calon
Ramlan berkata, proses penamaan calon PRN Sarawak ke-13 akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 pagi esok, dan SPR mengesahkan kesemua 82 pusat penamaan calon di seluruh negeri bersedia sepenuhnya.
Setakat malam tadi, katanya, sebanyak 721 borang penamaan calon telah dijual kepada parti politik dan individu yang berminat untuk bertanding, manakala 40 calon telah menjelaskan bayaran deposit.
Beliau turut mengingatkan bakal calon supaya hadir awal bagi membolehkan semakan dokumen pencalonan dilakukan dengan lancar, selain mematuhi segala peraturan dan arahan pihak berkuasa agar proses berkenaan berlangsung secara aman dan teratur.
Mengenai peti undi bagi kawasan pedalaman, Ramlan berkata SPR akan memulakan penghantaran pada Rabu ini sebagai persiapan menghadapi proses pengundian pada 12 Disember.
Penghantaran itu merangkumi kawasan pedalaman termasuk Parlimen Baram, bagi memastikan kelancaran urusan pilihan raya di lokasi berkenaan.
Calon diumumkan setakat ini
Sehingga hari ini, GPS telah mengumumkan calon bagi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengumumkan 26 calon, diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan DAP masing-masing 12 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) seorang calon, serta seorang calon bebas.
Situasi itu menjadikan daripada 82 kerusi berkenaan, sebanyak 44 kerusi hanya mempunyai seorang calon, 36 kerusi DUN dua calon dan dua kerusi DUN membabitkan tiga calon, setakat ini.
SPR menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, dengan hari penamaan calon esok, manakala pengundian awal pada 8 Disember.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.