Semua pemimpin DAP yang bukan anak Sarawak dan memegang jawatan menteri atau timbalan menteri persekutuan tidak akan terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 12 Dis ini.
Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata ketetapan itu dicapai selepas berbincang dengan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, susulan keputusan PKR untuk tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan.
“Demi semangat kerajaan Madani dan menghormati rakan gabungan kami di peringkat persekutuan, semua pemimpin DAP bukan anak Sarawak yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri persekutuan tidak akan mengambil bahagian dalam kempen PRN Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
DAP Sarawak terajui kempen di lapangan
Menurut Chong, DAP Sarawak akan menerajui kempen di lapangan dengan pemimpin, ahli dan mesej parti itu sendiri.
“Rekod dan komitmen kami kepada rakyat Sarawak akan berbicara dengan sendirinya,” katanya.
Autonomi Sarawak bukan kelonggaran baharu
Dalam pada itu, Chong menegaskan DAP Sarawak kekal berautonomi dalam menentukan kerusi yang mahu ditandingi tanpa campur tangan kepimpinan pusat.
Katanya, ketetapan itu bukan kelonggaran baharu yang diberikan kepada DAP Sarawak, sebaliknya prinsip yang sekian lama dipegang parti itu.
“Segala perkara berkaitan Sarawak diputuskan sepenuhnya oleh DAP Sarawak. Ini termasuk jumlah kerusi ditandingi, pemilihan calon dan penandatanganan watikah untuk bertanding menggunakan logo DAP,” katanya.
Chong berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut menegaskan semula bahawa ia menghormati sepenuhnya autonomi DAP Sarawak dan akan mematuhi ketetapan itu.
DAP satu-satunya parti PH bertanding
Sebelum ini, Chong membidas keputusan PKR untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak. Beliau menyifatkan parti itu mengorbankan demokrasi di negeri berkenaan demi mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menafikan partinya tunduk kepada GPS menerusi keputusan itu. Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai satu bentuk kerjasama.
DAP menjadi satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada PRN Sarawak, dengan setakat ini menamakan 12 calon. PKR dan Amanah pula memilih untuk tidak bertanding.
Pada PRN Sarawak 2021, DAP memenangi dua kerusi, manakala PKR dan Amanah gagal memenangi sebarang kerusi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.