Pendidikan keusahawanan perlu menjadi keutamaan negara bagi memacu pembangunan ekonomi, di samping melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan, kata bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad.
Menurutnya, usahawan menjana kekayaan, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkenalkan teknologi baharu, memperkukuh industri, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Keupayaan sesebuah ekonomi sering boleh diukur berdasarkan kekuatan ekosistem keusahawanannya,” katanya dalam ucapan sempena menerima anugerah “Father of Entrepreneurship Development Malaysia” daripada Binary University.
Ucapan itu dibacakan oleh anaknya, Marina, pada majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Kemahiran keusahawanan boleh dibentuk
Mahathir berkata, kemahiran keusahawanan boleh dibentuk menerusi pendidikan, justeru usaha membangunkan keupayaan rakyat untuk membina perniagaan perlu diberi perhatian.
Beliau mengimbau pengenalan Dasar Pandang ke Timur pada 1982, yang antara matlamatnya membentuk asas kemahiran, disiplin, etika kerja serta keupayaan teknologi rakyat dengan mencontohi Jepun dan Korea Selatan.
Menurutnya, dasar itu bukan sekadar untuk memperoleh teknologi atau menarik pelaburan, tetapi membolehkan rakyat memiliki pengetahuan, kemahiran, keupayaan keusahawanan dan keyakinan membina perniagaan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Katanya lagi, kemahiran keusahawanan rakyat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara pada 1990-an.
Puji usaha Binary University
Dalam pada itu, Mahathir memuji Binary University kerana mengambil langkah ke arah menjadi universiti keusahawanan pertama di Malaysia, menerusi usaha Asia Center for Entrepreneurship.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.