Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abdul Karim Rahman Hamzah, mempertahankan keputusan beberapa parti nasional untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 12 Disember, dengan berkata keputusan untuk tidak bertanding juga satu demokrasi, sama seperti bertanding.
Karim berkata, keputusan parti seperti PKR, Umno, Amanah dan Bersatu itu wajar dihargai kerana menunjukkan mereka memahami pendekatan politik Sarawak yang, menurutnya, mengutamakan hubungan dan kestabilan.
Beliau berkata, politik tidak sepatutnya dilihat sebagai medan pertempuran antara parti di peringkat negeri, sedangkan mereka bekerjasama semula di peringkat persekutuan.
“Sama ada kita nak bertanding ataupun tidak bertanding, itu adalah demokrasi. Tidak bertanding pun demokrasi juga, bertanding pun demokrasi juga,” katanya menurut Berita Harian.
Karim berkata demikian selepas menerima surat watikah pencalonan di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Kuching.
Balas kenyataan Chong Chieng Jen
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, bahawa keputusan PKR negeri untuk tidak bertanding bermakna mengorbankan demokrasi demi mendapatkan sokongan GPS terhadap kerajaan persekutuan.
Karim berkata, jika pengundi berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan parti tertentu memilih untuk tidak meletakkan calon, keputusan itu perlu dihormati.
“Apa hak beliau (Chong) mengatakan setiap pilihan raya mesti ada pertandingan, baru kita lihat demokrasi berkembang? Tidak. Kita tetap mengamalkan demokrasi,” katanya.
DAP satu-satunya parti PH bertanding
GPS ialah sebahagian daripada kerajaan perpaduan persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah dan parti lain.
DAP merupakan satu-satunya parti komponen PH yang bertanding dalam PRN Sarawak, memandangkan PKR dan Amanah memilih untuk tidak bertanding. Parti itu, yang kini memegang dua kerusi, dijangka berdepan GPS di 12 daripada 82 kerusi.
Dakwaan DAP rasa terpinggir
Karim turut mendakwa Chong mungkin berasa terpinggir kerana DAP kini berada dalam kedudukan yang berbeza berbanding parti nasional lain.
Menurut beliau, DAP dilihat mengambil pendekatan berbeza dalam hubungan politik di peringkat persekutuan dan negeri, sedangkan parti lain lebih memahami keperluan menentukan pendirian masing-masing berdasarkan keadaan politik semasa.
“Di peringkat persekutuan, DAP mahu berkawan dengan kita, tetapi di sini, kita tidak dapat berkawan dengan mereka,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.